Rabu, 29 Julai 2020 | 7:17pm
Bantuan kewangan bersasar berupaya menghidupkan semula perniagaan PKS. - Foto fail NSTP
Bantuan kewangan bersasar berupaya menghidupkan semula perniagaan PKS. - Foto fail NSTP

PKS, perniagaan dapat talian hayat

KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan melanjutkan moratorium dan bantuan bank bersasar memberi talian hayat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan lain, termasuk individu.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata

langkah pantas kerajaan itu sangat diperlukan terutama kepada PKS yang masih dalam peringkat membangunkan semula perniagaan selepas berdepan kemerosotan disebabkan pasaran domestik dan global yang lemah.

Beliau berkata, ia termasuk individu yang kehilangan pekerjaan dan belum bekerja semula termasuk yang bercuti tanpa gaji atau dikurang gaji.

Bagaimanapun, katanya FMM mengharapkan langkah ini dapat juga diperluas ke PKS yang memerlukan bantuan kewangan tambahan untuk menghidupkan kembali perniagaan mereka.

"Langkah memanjangkan tempoh moratorium bank untuk PKS akan membantu meringankan aliran tunai.

"Industri meminta agar proses penyusunan semula pembayaran pinjaman ini dapat dibuat secara mudah dan pantas. Ini bagi memberikan peserta industri lebih banyak waktu dalam usaha membangunkan kembali perniagaan.

"Seperti yang kita fahami, inisiatif ini berdasarkan komitmen bank masing-masing dan bukan arahan dari kerajaan, sekali gus memberikan ruang rundingan yang terhad antara PKS dengan bank. Justeru, kami berharap proses penyusunan semula dapat dilaksanakan dengan baik," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) berkata, bantuan yang lebih berfokus itu adalah keputusan yang tepat dimana kerajaan dapat memulihkan ekonomi disamping membantu individu serta PKS yang terjejas pendapatan akibat COVID-19.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr A.T. Kumararajah, berkata individu yang terbabit menerima inisiatif kerajaan ini harus menggunakannya supaya tidak memberi impak kewangan yang lebih teruk.

"Bagi golongan peniaga serta PKS pula, MAICCI menyeru peniaga perlu menggunakan duit pinjaman itu untuk dilaburkan semula dalam perniagaan bagi meningkatkan aliran tunai," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Mohd Hashif Mohd Farid, pula berkata bantuan dan lanjutan moratorium itu dapat memanfaatkan pengusaha serta pekerja sektor pelancongan yang banyak terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ia dapat dimanfaatkan pekerja syarikat pelancongan Bumiputera merangkumi hampir 50,000 jumlah tanggungan isi rumah yang turut mempunyai bayaran bulanan dengan institusi perbankan di Malaysia," katanya.

Berita Harian X