Selasa, 14 Julai 2020 | 11:03am
Langkah Pemutus Litar (CB) dan permintaan luaran yang lemah menjejaskan ekonomi Singapura pada suku kedua 2020 - Foto AFP
Langkah Pemutus Litar (CB) dan permintaan luaran yang lemah menjejaskan ekonomi Singapura pada suku kedua 2020 - Foto AFP

Ekonomi Singapura merosot 12.6 peratus

SINGAPURA: Ekonomi Singapura susut 12.6 peratus pada suku kedua 2020 berikutan langkah-langkah Pemutus Litar (CB) dan permintaan luaran yang lemah dalam persekitaran ekonomi global yang merosot disebabkan pandemik COVID-19.

Dalam mengeluarkan perangkaan awal, Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu berkata langkah-langkah yang dilaksanakan selama lapan minggu dari 7 April, adalah termasuk menggantung perkhidmatan bukan penting dan menutup kebanyakan premis tempat kerja.

Sementara itu, pada asas tahunan bermusim diselaraskan suku ke suku, ekonomi susut 41.2 peratus pada suku kedua, katanya.

Perangkaan awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua 2020 dikira sebahagian besarnya daripada data dalam tempoh dua bulan pertama suku tahun itu - April dan Mei 2020.

Ia menjadi petunjuk awal kepada pertumbuhan KDNK pada suku tahun itu dan tertakluk kepada semakan semula apabila data yang lebih komprehensif didapati.

MTI akan mengeluarkan perangkaan KDNK awal pada suku kedua, termasuk prestasi oleh sektor, sumber pertumbuhan, inflasi, pekerjaan dan produktiviti, dalam Tinjauan Ekonomi Singapura, bulan depan.

Susulan penularan COVID-19, ekonomi republik itu diunjurkan oleh kementerian susut 4-7 peratus pada 2020.

Secara berasingan, Menteri Perdagangan dan Industri, Chan Chun Sing berkata anggaran angka itu dijangka.

Memetik Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), katanya KDNK global merosot 4.9 peratus pada tahun ini berikutan impak daripada pandemik tersebut, lebih tinggi daripada susut tiga peratus yang diunjurkan sebelum ini.

"Perjalanan kepada pemulihan dalam bulan-bulan akan datang akan mencabar. Kami menjangka pemulihan akan perlahan, berikutan permintaan luaran terus lemah dan negara-negara sedang memerangi gelombang kedua dan ketiga penularan tersebut dengan melaksanakan semula sekatan pergerakan setempat atau langkah-langkah penjarakan yang lebih selamat.

"Di peringkat tempatan, kadar pemulihan kita akan turut bergantung kepada cara kita menguruskan situasi kesihatan awam dan sama ada kita dapat memastikan jangkitan dalam komuniti rendah," katanya dalam catatan terkini di laman Facebook beliau pagi ini.

Mengenai prestasi sektor, MTI berkata sektor pembuatan berkembang 2.5 peratus pada asas tahun ke tahun pada suku kedua, lebih perlahan daripada pertumbuhan sebanyak 8.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Pertumbuhan pada suku tahun itu disebabkan pengeluaran meningkat dalam kluster pembuatan bioperubatan, katanya.

Sebaliknya, permintaan luaran yang lemah dan gangguan di tempat kerja semasa tempoh Pemutus Litar menjejaskan pengeluaran dalam kluster kimia, kejuruteraan pengangkutan dan pembuatan am.

Sektor pembinaan susut 54.7 peratus pada asas tahun ke tahun pada suku kedua, kemerosotan yang ketara daripada penurunan 1.1 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Pengeluaran pembinaan rendah berikutan langkah-langkah Pemutus Litar yang menyebabkan kebanyakan aktiviti pembinaan dihentikan dalam tempoh tersebut, selain gangguan kepada tenaga kerja berikutan langkah-langkah tambahan untuk membendung penularan COVID-19, termasuk sekatan pergerakan di asrama pekerja asing.

Industri yang memberikan perkhidmatan merosot 13.6 peratus pada asas tahun ke tahun pada suku kedua, lebih tinggi daripada penurunan 2.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Dalam perkhidmatan, sektor berkaitan pelancongan seperti penginapan dan sektor pengangkutan udara terjejas teruk oleh sekatan perjalanan global dan domestik, yang menyebabkan ketibaan pengunjung dan perjalanan udara terhenti.

Sektor perkhidmatan lain yang berorientasikan keluar seperti perdagangan borong dan pengangkutan air terjejas oleh permintaan luaran yang merosot berikutan banyak negara di seluruh dunia menghadapi pandemik COVID-19.

Sementara itu, sektor perkhidmatan berorientasikan domestik seperti perkhidmatan makanan, runcit dan perkhidmatan perniagaan terjejas oleh langkah-langkah Pemutus Litar.

Pada asas tahunan bermusim diselaraskan suku ke suku, industri yang memberikan perkhidmatan susut 37.7 peratus pada suku kedua, meneruskan penurunan 13.4 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.

-BERNAMA

Berita Harian X