Ahad, 7 Jun 2020 | 1:28pm
Pemandangan bandaraya Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Osman Adnan
Pemandangan bandaraya Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Osman Adnan

PENJANA mampu jadi Malaysia paling kompetitif di ASEAN - EY

KUALA LUMPUR: Pengumuman insentif cukai dan elaun pelaburan semula khas yang digariskan kerajaan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dijangka berupaya meletakkan Malaysia antara negara paling kompetitif di ASEAN untuk pelaburan langsung asing (FDI), demikian menurut Ernst & Young (EY).

Firma perkhidmatan kewangan profesional multinasional yang beribu pejabat di London, itu berkata turut menyumbang adalah kemudahan infrastruktur di negara ini yang bertaraf dunia, kesalinghubungan serta kumpulan tenaga kerja pakar yang mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan insentif cukai dan elaun khas pelaburan semula di bawah PENJANA untuk menggalakkan pelabur menempatkan semula operasi besar ke negara ini.

Di samping itu, EY berkata, kerajaan Malaysia juga menjanjikan kecekapan kukuh seperti pemberian lesen perkilangan untuk industri tidak sensitif dalam dua hari akan meningkatkan keyakinan pelabur.

Turut menarik perhatian EY yang juga peneraju global dalam jaminan, cukai, transaksi dan khidmat nasihat itu kewangan itu, adalah kempen 'Buy Malaysia' yang diumumkan kerajaan.

"Sebagai sebahagian kempen ini, rangkaian pasar raya besar diperlukan untuk menandakan produk Malaysia dan saluran produk khas Malaysia akan diperkenalkan di platform digital utama.

"Selanjutnya, kerajaan akan membiayai secara bersama baucar diskaun digital untuk menggalakkan pembelian dalam talian daripada peruncit tempatan," katanya dalam nota 'Take 5 for Business' bertajuk COVID-19: Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek.

EY menyifatkan secara keseluruhan, PENJANA memberi tumpuan dalam keutamaan yang betul seperti menyelamatkan serta melindungi pekerjaan dan kelangsungan perniagaan, pendigitalan, menggalakkan pelaburan bernilai tinggi dan terus meningkatkan kecekapan kerajaan.

Dalam pada itu, ia berkata, COVID-19 memacu keperluan transformasi digital.

Justeru, bagi memudahkan dan menyokong keperluan itu, kerajaan kini memperkenalkan pelbagai inisiatif dan langkah untuk menggalakkan penggunaan digital oleh perniagaan, jelasnya.

"Kerajaan sendiri juga memacu pendigitalan perkhidmatannya dalam bidang seperti duti setem dan wang tidak dituntut. Dijangka kerajaan akan terus meningkatkan penggunaan teknologi dalam interaksinya dengan orang awam dan perkhidmatan penghantaran di bawah norma baharu," katanya.

EY berkata, terdapat juga pelbagai langkah yang disasarkan untuk menggalakkan keusahawanan tempatan dan menggalakkan pelaburan.

Bagi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS), langkah diperkenalkan untuk menggalakkan penubuhan perniagaan baharu seperti rebat cukai pendapatan dan pengecualian duti setem untuk penggabungan dan pengambilalihan (M&A), katanya.

Berita Harian X