Khamis, 28 Mei 2020 | 8:43am
 Peruntukan mampu menampung operasi usahawan mikro, PKS dan koperasi daripada menutup perniagaan - NSTP/Ghazali Kori
Peruntukan mampu menampung operasi usahawan mikro, PKS dan koperasi daripada menutup perniagaan - NSTP/Ghazali Kori

Pelan pemulihan bantu PKS, usahawan bertahan

KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi membolehkan usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro untuk terus bertahan dalam tempoh yang mencabar ini.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang, berkata peruntukan berjumlah lebih RM450 juta itu mampu menampung operasi sebahagian usahawan mikro, PKS dan koperasi, sekali gus mengelakkan daripada terus menutup perniagaan masing-masing.

Bagaimanapun, katanya peruntukan itu diharap dapat ditambah lagi pada masa akan datang bagi membolehkan lebih ramai usahawan menerima manfaat daripadanya.

"Bantuan ini sefaham saya disasarkan kepada perusahaan mikro dan koperasi. Ketika ini, dianggarkan terdapat lebih 700,000 PKS mikro berdaftar dan jika ditambah sekali dengan yang tidak berdaftar, jumlah semuanya adalah kira-kira dua juta.

"Sehubungan itu, adalah penting jika Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan kerajaan dapat meningkatkan lagi peruntukan inisiatif ini supaya lebih ramai PKS mikro berpeluang meraih bantuan sedemikian," katanya kepada BH.

MEDAC dalam kenyataannya semalam mengumumkan peruntukan sebanyak RM452.8 juta bagi membantu usahawan, PKS dan koperasi untuk membolehkan mereka terus beroperasi pasca COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata peruntukan itu membabitkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi yang dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 Mei lalu.

Ia mengandungi 30 program yang akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu jangka masa pendek bermula Mei hingga Disember 2020 dan jangka masa sederhana bermula Januari 2021 hingga Mei 2021.

Sementara itu Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abd Halim Husin, berkata inisiatif itu mampu memudahkan PKS mikro dan koperasi untuk mendapatkan pembiayaan tanpa perlu bergantung kepada bank.

Beliau berkata, seperti diketahui bank mengenakan syarat yang ketat untuk mendapatkan pembiayaan bagi memastikannya terlindung daripada risiko kegagalan bayaran semula daripada peminjam.

"Disebabkan itu, bank tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan dana atau pembiayaan kepada usahawan dan perusahaan pada masa ini.

"DPMM sebelum ini pernah mencadangkan kepada kerajaan supaya badan atau agensi bukan perbankan digunakan untuk memberikan pembiayaan kepada usahawan.

"Maka, kami menyambut baik pengumuman MEDAC kerana ia selari dengan cadangan yang pernah diutarakan sebelum ini dan berharap ia mampu membantu sedikit sebanyak PKS mikro dan koperasi tempatan yang terjejas dengan pandemik ini," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X