Selasa, 19 Mei 2020 | 6:42pm

'Tambah dana bantu usahawan mikro'

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mencadangkan dana mikro kredit perlu ditambah kepada RM1.5 bilion berbanding RM700 juta ketika ini bagi membantu lebih ramai usahawan mikro mengurangkan impak negatif COVID-19 terhadap perniagaan.

Presidennya, Dr Abdul Halim Husin, berkata DPMM berpandangan skim mikro kredit lebih sesuai dibuat secara dana pusingan modal kerja.

Beliau berkata, kemudahan modal pusingan amat penting bagi menjamin kelangsungan perniagaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Majoriti usahawan mikro memerlukan bantuan aliran tunai dan kepantasan bantuan bagi membolehkan perniagaan mereka kembali pulih lebih pantas.

"Usahawan juga memerlukan bantuan secara menyeluruh termasuk bimbingan dan bantuan pemasaran untuk memulihkan perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan hasil kaji selidik kesan PKP bagi membendung penularan COVID-19 terhadap perniagaan usahawan Melayu.

Berdasarkan kaji selidik yang bermula 4 April 2020 membabitkan 1,000 responden mendapati 52 peratus responden menyatakan perniagaan mereka mampu bertahan selama sebulan walaupun dengan bantuan Skim Bantuan Upah.

Kaji selidik itu mendapati 39.1 peratus responden yakin bahawa prestasi perniagaan mereka boleh dipulihkan selepas PKP.

Dapatan kaji selidik itu menunjukkan sungguhpun dalam situasi mencabar, hampir 95 peratus responden bersetuju untuk terus berjuang dalam arena perniagaan mereka.

Sementara itu, 28.7 peratus responden berpandangan model perniagaan sedia ada mereka perlu diubah mengikut kelaziman baharu.

Sebanyak 66 peratus responden meminta agar geran khas untuk pemasaran dilaksanakan.

Selain itu, DPMM juga melancarkan Biro Aduan Pengusahaniaga COVID-19 untuk menerima aduan daripada syarikat kecil dan sederhana (PKS) seluruh negara.

Presiden DPMM, Dr Abdul Halim Husin (kiri) dan Naib Presiden DPMM, Amir Hamzah Karim pada sidang media di Ibu pejabat DPMM, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Presiden DPMM, Dr Abdul Halim Husin (kiri) dan Naib Presiden DPMM, Amir Hamzah Karim pada sidang media di Ibu pejabat DPMM, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Berita Harian X