Rabu, 13 Mei 2020 | 4:39pm
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

'Ada ruang laksana pakej rangsangan ekonomi tambahan'

KUALA LUMPUR: Malaysia masih mempunyai ruang untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi selanjutnya jika diperlukan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, pelaksanaan pelan konsolidasi fiskal secara beransur-ansur beberapa tahun lalu membolehkan kerajaan membangunkan ruang fiskal yang diperlukan untuk menyokong ekonomi ketika pertumbuhan perlahan.

Katanya, langkah fiskal dilaksanakan adalah untuk melindungi individu dan perniagaan daripada terjejas teruk oleh krisis yang melanda ekonomi negara, yang mana ia dilaksanakan dengan cara yang dapat mengurangkan tekanan jangka panjang terhadap kewangan awam.

Malaysia juga, jelasnya, bukan satu-satunya negara yang melaksanakan pakej rangsangan ekonomi, malah negara lain di seluruh dunia turut melaksanakannya untuk menyokong ekonomi masing-masing.

"Kerajaan juga mempunyai rekod yang baik dalam komitmen berterusan pelan konsolidasi fiskal jangka sederhana. Kerajaan melaksanakan konsolidasi fiskal pada 2010 dan sejak itu, defisit fiskal kita berkurangan separuh iaitu 6.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2009 kepada 3.4 peratus daripada KDNK tahun lalu.

"Jadi, sekiranya terdapat keperluan untuk rangsangan ekonomi selanjutnya, kerajaan boleh melaksanakan pinjaman tambahan dalam ruang yang dibangunkan beberapa tahun lalu," katanya pada sidang media secara maya bagi mengumumkan prestasi ekonomi suku pertama 2020 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada kerajaan masih mempunyai ruang fiskal jika perlu untuk melaksanakan pakej rangsangan selanjutnya.

Nor Shamsiah berkata, objektif pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan adalah untuk menyediakan bantuan aliran tunai kepada individu dan perniagaan supaya berdaya tahan serta perbelanjaan yang betul untuk mengurangkan masalah ekonomi serta mengekalkan kapasiti yang produktif.

Beliau berkata, pakej rangsangan juga adalah untuk menyediakan pembiayaan bagi membantu perniagaan memulihkan operasi mereka supaya ekonomi pulih dengan pantas.

Katanya, langkah rangsangan juga adalah ada batas waktunya untuk menjamin kestabilan fiskal dan mengekalkan kapasiti mencukupi untuk campur tangan pada masa jika perlu.

Kadar defisit negara dijangka berada paras antara 4.7 peratus hingga 5.0 peratus pada 2020 dengan mengambil kira pelaksanaan pakej rangsangan dan harga minyak yang rendah.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X