Isnin, 6 April 2020 | 9:07pm
Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM)
Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM)

ACCCIM lega perundingan potong gaji, cuti tanpa gaji dibenarkan

KUALA LUMPUR: Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) melahirkan kelegaan apabila kerajaan bersetuju untuk menggalakkan perundingan diadakan antara majikan dan pekerja mengenai terma pekerjaan, termasuk pilihan pemotongan gaji dan pemberian cuti tanpa gaji dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden ACCCIM, Tan Sri Ter Leong Yap, berkata kelonggaran itu memberi majikan fleksibiliti untuk berunding dengan pekerja dalam berdepan waktu sukar yang dihadapi ketika ini.

Beliau berkata, langkah membenarkan pengurangan bayaran levi pekerja asing sebanyak 25 peratus kepada semua syarikat yang permit pekerja mereka tamat pada 1 April hingga 31 Disember 2020 juga dilihat akan mengurangkan kos operasi perniagaan.

Katanya, pengurangan sewa atau diskaun yang diberikan kepada peruncit di premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga akan memberi kesan limpahan kepada pemilik swasta premis dan kedai untuk mengurangkan sewa mereka.

“Kami menyambut baik Pakej PRIHATIN bagi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan bersyukur kerajaan telah mendengar keluhan dan kebimbangan komuniti perniagaan berkenaan kelangsungan perniagaan mereka dalam menghadapi kesan pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesan selepasnya.

“Penting untuk melindungi PKS daripada penutupan perniagaan dan kebankrapan kerana ia akan mengakibatkan pemberhentian secara besar-besaran dan kehilangan pendapatan pekerja dan juga menjejaskan ekonomi.

“Penghargaan kami juga terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Kewangan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Menteri Pengangkutan untuk usaha besar mereka dalam mempertimbangkan maklum balas dan input kami dalam menyediakan pakej insentif tambahan ini untuk PKS,” katanya dalam satu kenyataan.

Ter, yang juga Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), berkata, pihaknya gembira pakej itu juga mengambil kira perniagaan mikro, yang berjumlah sekitar 700,000, melalui pemberian geran khas dan kadar sifar pinjaman mudah untuk membantu mereka melalui masa yang sukar itu.

“Subsidi upah yang disemak semula sebanyak RM600, RM800 dan RM1,200 sebulan bagi setiap tahun pekerja berjumlah RM13.8 bilion, bergantung kepada saiz perniagaan operasi April-Jun 2020 pastinya memberikan pelepasan kewangan yang tepat pada masanya untuk perniagaan. Ini akan memberi manfaat kepada 4.8 juta pekerja,” katanya.

Ter berkata, ACCCIM juga akan terus bekerjasama dengan kerajaan untuk melindungi kesihatan awam dan ekonomi sepanjang penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, pihaknya percaya kerajaan akan terus berhubung rapat dengan perniagaan untuk mengkaji semula tindakan dasar dari masa ke semasa dan membuat keputusan pragmatik dengan mengambil kira perkembangan yang berubah-ubah berkaitan ekonomi dan perniagaan.

“NCCIM dan ACCCIM akan memberi komitmen kukuh untuk terbabit secara aktif dan menyumbang idea serta cadangan untuk merangka pelan jangka sederhana dan panjang bagi memastikan kemampanan ekonomi dan pembangunan perniagaan,” katanya.

Berita Harian X