Isnin, 6 April 2020 | 2:13pm
Usahawan wanita tidak terlepas tempias impak COVID-19 - NSTP/Rohanis Shukri
Usahawan wanita tidak terlepas tempias impak COVID-19 - NSTP/Rohanis Shukri

COVID-19: Lebih 190,000 usahawan wanita terjejas

KUALA LUMPUR: Lebih 190,000 usahawan wanita yang kebanyakannya terbabit dalam perniagaan mikro dan sektor perkhidmatan turut terjejas disebabkan pandemik COVID-19.

Presiden Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesion Malaysia (Peniagawati), Datuk Azlin Ahmad Shaharbi berkata, beliau yakin Pakej Prihatin PKS (Tambahan) yang akan diumumkan Perdana Menteri hari ini tidak akan mengabaikan usahawan wanita.

Beliau berkata, selain usahawan wanita yang berdaftar terdapat juga usawahan dengan perniagaan tidak formal turut menghadapi kesukaran meneruskan operasinya.

“Minggu lalu, Peniagawati sudah mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Kewangan iaitu pengurangan atau pengecualian sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk majikan, pengurangan dan penangguhan cukai peribadi dan korporat, pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), peningkatan diskaun elektrik serta bantuan untuk pembayaran utiliti lain.

“Selain itu, kami berharap kerajaan dapat melihat secara khusus mengenai isu-isu perniagaan mikro kerana situasi mereka mungkin tidak sama dengan PKS yang lebih besar, jadi penyelesaian atau pakej yang bersesuaian mungkin tidak sesuai untuk semua,” katanya.

Azlin berkata, bagi perniagaan mikro, Peniagawati mencadangkan pembayaran sekali sahaja untuk memudahkan masalah aliran tunai bagi menahan penutupan perniagaan.

Beliau berkata, berdasarkan kaji selidiknya, hampir 50 peratus perniagaan akan ditutup dalam satu bulan, oleh itu adalah penting dan kritikal bagi kerajaan untuk bertindak dengan segera formula pembayaran yang boleh dibuat berdasarkan pembayaran sebenarnya yang dibayar atau saiz perniagaan.

“Lebih banyak bantuan diperlukan untuk membantu usahawan wanita mengatasi masalah aliran tunai mereka kerana perniagaan telah terhenti sejak permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini amat penting kerana perniagaan mikro mempunyai sumber kewangan yang terhad dan kebanyakannya tidak mempunyai simpanan untuk membayar perbelanjaan mereka walaupun pada Mac.

“Segmen perniagaan ini adalah penting bukan sahaja berdasarkan pendapatan yang dihasilkan tetapi juga dari segi pekerjaan.

“Usaha mempertahankan usahawan wanita juga bermakna membantu keluarga kerana wanita diketahui menyalurkan sekitar 70 peratus pendapatan mereka untuk kesejahteraan keluarga,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X