Isnin, 30 March 2020 | 12:34pm
Peniaga kedai runcit, Mahadzir M Hassan menyusun barangan di kedainya ketika tinjauan fotoBernama. - Foto hiasan/BERNAMA
Peniaga kedai runcit, Mahadzir M Hassan menyusun barangan di kedainya ketika tinjauan fotoBernama. - Foto hiasan/BERNAMA

COVID-19: Perniagaan ambil masa sekurang-kurangnya 6 hingga 12 bulan untuk stabil - NCCIM

KUALA LUMPUR: Bantuan serta sokongan kewangan kerajaan bukan saja amat diperlukan semasa krisis COVID-19 tetapi ia perlu diteruskan selepas pemulihan wabak kerana ia dijangka akan mengambil masa sekurang-kurangnya 6 hingga 12 bulan untuk stabil sebelum kehidupan rakyat dan perniagaan kembali normal.

Menurut Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), subsidi gaji yang dicadangkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi RM250 bilion "Pritihan Rakyat" yang diberikan kepada majikan sewajarnya, dipertingkatkan dari segi jumlah dan tidak bersyarat.

“Sekarang ini, syarikat besar termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sedang berjuang untuk mendapatkan jualan, pendapatan serta keuntungan, yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan.

Syarikat berkenaan mengalami jualan yang lebih rendah serta menghadapi masalah aliran tunai, terutamanya untuk perniagaan yang beroperasi dalam perkhidmatan yang bukan utama sehingga perlu ditutup di bawah tempoh PKP.

Malahan, ada perniagaan yang mempunyai kewangan yang mantap turut terjejas teruk, bergantung kepada keadaan dan tempoh sehingga permintaan dan bekalan kembali pulih.

“Aliran tunai yang agak tirus dan kejatuhan pendapatan akan mendorong banyak perniagaan ke ambang kebankrapan, dan ini akan menyebabkan pemberhentian secara besar-besaran serta pengurangan pekerjaan,” katanya.

Oleh itu, NCCIM merayu kepada kerajaan untuk memberikan sokongan dalam tempoh selepas pemulihan COVID-19.

“NCCIM akan terus bergiat aktif dan terbabit dengan kerajaan serta kementerian-kementerian yang berkaitan untuk mengemukakan isu dan perkara yang berkaitan dengan kelangsungan komuniti perniagaan bagi menyokong ekonomi negara,” katanya.

-- BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X