Rabu, 26 Februari 2020 | 4:30pm
Dr Mahathir telah mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai atasan Kementerian Kewangan pada hari ketiga memegang jawatan Perdana Menteri Interim. - Foto Twitter @chedetofficial
Dr Mahathir telah mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai atasan Kementerian Kewangan pada hari ketiga memegang jawatan Perdana Menteri Interim. - Foto Twitter @chedetofficial

Pakej Rangsangan COVID-19 diumumkan esok

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan pakej rangsangan bagi menangani kesan ekonomi ekoran penularan COVID-19 pada petang esok.

Berdasarkan jemputan media yang dihantar Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebentar tadi, pengumuman itu akan dibuat oleh Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Pada tengahari tadi, Dr Mahathir telah mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai atasan Kementerian Kewangan pada hari ketiga memegang jawatan Perdana Menteri Interim.

Sebanyak empat keping gambar yang merakamkan mesyuarat membincangkan pakej rangsangan ekonomi itu dimuat naik pada jam 12.37 tengah hari di twitter @chedetofficial

“Tun Dr Mahathir Bin Mohamad baru saja selesai bermesyuarat bersama dengan pegawai atasan Kementerian Kewangan di dalam sesi perbincangan mengenai pakej rangsangan ekonomi,” menurut twitter berkenaan.

Sebelum ini, ahli ekonomi berpendapat bahawa pakej perlu dilaksanakan segera meskipun negara ketika ini berdepan kemelut politik, kerana jika ditangguhkan, ia memberi risiko pertumbuhan perlahan.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi & Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata pakej rangsangan perlu disegerakan, jika tidak, risiko ekonomi negara terjerumus ke dalam kemelesetan semakin meningkat.

Beliau berkata, adalah perlu diingatkan bahawa ekonomi negara menjadi lemah sebelum COVID-19 lagi.

Justeru, katanya, kemelut politik yang melanda negara akan meningkatkan lagi risiko ekonomi ke arah kemelesetan.

“Tanda awal sudah jelas dan ia perlu ditangani secara tegas dan holistik melalui pakej rangsangan ini,” katanya.

Irwan Shah berkata, sekiranya negara lambat bertindak, ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi pada kadar yang lebih rendah, iaitu di bawah 4.0 peratus, sekali gus mengurangkan peluang pekerjaan, serta kemerosotan dalam pelaburan serta perdagangan.

Beliau berkata, keadaan itu akan membebankan rakyat dengan prospek kehilangan pekerjaan, hasil perniagaan yang lembap, tahap pendapatan dan upah yang semakin menurun.

“Golongan muda juga sukar untuk mendapat peluang pekerjaan baharu, terutamanya graduan yang mencari pekerjaan setimpal dengan kelayakan mereka.

“Lambat bertindak juga akan menjejaskan Bursa Malaysia dan nilai ringgit. Ini sekali gus akan membebankan kehidupan rakyat dengan kos sara hidup yang semakin meningkat serta pulangan pelaburan yang rendah.

“Namun, jika ketidakstabilan politik berterusan, dan pakej rangsangan ini lambat diumumkan, risiko kemelesetan ekonomi akan semakin meningkat pada masa depan,” katanya.

Berita Harian X