Selasa, 25 Februari 2020 | 5:39pm
Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin.
Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin.

Pakej rangsangan COVID-19 perlu disegerakan - Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR: Pakej rangsangan ekonomi bagi menangani impak penularan COVID-19 terhadap pertumbuhan ekonomi perlu dilaksanakan segera, dan jika ditangguhkan, ia memberi risiko pertumbuhan perlahan, demikian kata pakar ekonomi.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi & Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata pakej rangsangan perlu disegerakan, jika tidak, risiko ekonomi negara terjerumus ke dalam kemelesetan semakin meningkat.

Beliau berkata, adalah perlu diingatkan bahawa ekonomi negara menjadi lemah sebelum COVID-19 lagi.

Justeru, katanya, kemelut politik yang melanda negara akan meningkatkan lagi risiko ekonomi ke arah kemelesetan.

“Tanda awal sudah jelas dan ia perlu ditangani secara tegas dan holistik melalui pakej rangsangan ini,” katanya kepada BH bagi mengulas kesan pakej rangsangan jika ditangguhkan.

Irwan Shah berkata, sekiranya negara lambat bertindak, ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi pada kadar yang lebih rendah, iaitu di bawah 4.0 peratus, sekali gus mengurangkan peluang pekerjaan, serta kemerosotan dalam pelaburan serta perdagangan.

Beliau berkata, keadaan itu akan membebankan rakyat dengan prospek kehilangan pekerjaan, hasil perniagaan yang lembap, tahap pendapatan dan upah yang semakin menurun.

“Golongan muda juga sukar untuk mendapat peluang pekerjaan baharu, terutamanya graduan yang mencari pekerjaan setimpal dengan kelayakan mereka.

“Lambat bertindak juga akan menjejaskan Bursa Malaysia dan nilai ringgit. Ini sekali gus akan membebankan kehidupan rakyat dengan kos sara hidup yang semakin meningkat serta pulangan pelaburan yang rendah.

“Namun, jika ketidakstabilan politik berterusan, dan pakej rangsangan ini lambat diumumkan, risiko kemelesetan ekonomi akan semakin meningkat pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi, Dr Zulkiply Omar, berkata pakej rangsangan perlu untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata, kalau ia ditangguhkan akan menambahkan kepada ketidaktentuan dan akan memperlahankan pertumbuhan.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, sebaiknya pakej rangsangan perlu dilaksanakan dengan kadar segera bagi memastikan risiko pertumbuhan ekonomi yang lebih lembap dapat diminimumkan.

Beliau berkata, negara lain sudah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi seperti Singapura, yang mana penekanan diberikan untuk meningkatkan aktiviti ekonomi domestik.

Justeru, katanya, pengumuman pakej rangsangan ekonomi adalah penting bagi menaikkan keyakinan pelabur, peniaga dan juga pengguna supaya ekonomi domestik akan terus dapat menampan kesan kelembapan ekonomi luaran.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Interim akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi itu pada satu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Beliau berkata, sebelum ini pakej rangsangan ekonomi dijadual akan diumumkan Khamis ini.

Berita Harian X