Rabu, 12 Februari 2020 | 3:58pm
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pakej rangsangan ekonomi boleh dilaksana tanpa jejas defisit fiskal

KUALA LUMPUR: Malaysia masih mempunyai ruang untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi tanpa menjejaskan sasaran defisit fiskalnya bagi mengekang impak penularan COVID-19 (coronavirus) kepada ekonomi negara.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata ini kerana paras hutang kerajaan berada pada tahap yang terkawal dan di bawah unjuran ditetapkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Katanya, hutang kerajaan kini berada pada paras 52.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau kira-kira 61 peratus jika mengambil kira jaminannya sekali.

“Jika anda melihat laporan dikeluarkan IMF mengenai Malaysia baru-baru ini, berdasarkan analisis kemapanan hutang mereka iaitu yang bermaksud pada tahap apa kerajaan mampu menampung hutangnya dan Malaysia ialah pada paras 70 peratus.

“Maka, dengan defisit fiskal yang lebih rendah, pelaksanaan penyatuan fiskal yang telah kerajaan laksanakan sejak 2009 dan paras hutang yang masih terkawal, ia memberikan ruang fiskal (kepada kerajaan) untuk membiayai pakej rangsangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara untuk suku keempat di sini, hari ini.

Kerajaan menyasar untuk mencapai defisit fiskal 3.2 peratus bagi tahun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam mengumumkan yang pakej rangsangan ekonomi akan diumumkan selewat-lewatnya awal bulan depan.

Mengulas lanjut mengenai pakej rangsangan itu, Nor Shamsiah berkata, ia bertujuan membantu kumpulan terjejas dan merangsangkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Tetapi dari segi saiz pakej ini, pertumbuhan rangsangan dan keperluan fiskal perlu diseimbangkan. Jadi, semua ini akan diambil kira ketika mahu memutuskan mengenai pakej rangsangan ini,” katanya.

Berita Harian X