Sabtu, 12 Oktober 2019 | 3:57pm
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking. - NSTP/Aizuddin Saad
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking. - NSTP/Aizuddin Saad

MITI dapat RM877.8 juta pacu perdagangan, pelaburan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diperuntukkan RM877.8 juta untuk perbelanjaan mengurus dan RM865.29 juta untuk perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2020 berbanding RM517.4 juta dan RM1.15 bilion yang diterima dalam belanjawan sebelumnya.

Menterinya, Datuk Darell Leiking, berkata jumlah perbelanjaan operasi yang diterima itu merupakan peningkatan 69.6 peratus, namun untuk perbelanjaan pembangunan, angkanya merosot 24.8 peratus.

"Peruntukan tambahan dalam perbelanjaan mengurus akan membolehkan MITI melaksanakan lebih banyak program dan inisiatif untuk memacu promosi perdagangan dan inisiatif pembangunan industri serta menampung kos selaku tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik 2020 (APEC 2020),” katanya dalam reaksi kepada Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada Jumaat.

APEC 2020 bermula dari Disember 2019 hingga November 2020.

"Sebagai tuan rumah mesyuarat APEC, MITI bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi yang berkaitan untuk memastikan semua persiapan berada pada standard tinggi."

Beliau berkata, dengan lebih daripada 120 mesyuarat yang akan diadakan sepanjang tahun, penganjurannya akan memberi manfaat kepada negara, termasuk industri PKS dan perhotelan tempatan secara langsung.

"Komitmen Belanjawan 2020 untuk menggerakkan Malaysia ke fasa pembangunan perindustrian seterusnya sangat mengembirakan, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2021-2030 yang akan dilancarkan MITI pada 2020. Strategi utama termasuk kajian komprehensif rangka kerja insentif kami untuk mememastikan perancangan kehadapan," katanya.

Antara lain, Belanjawan 2020 menyaksikan dana prapakej sebanyak RM1 bilion setahun selama 5 tahun untuk menarik syarikat Fortune 500 dan unicorn global ke Malaysia, dan juga prapakej RM1 bilion setahun selama 5 tahun untuk memudahkan syarikat tempatan melabur di luar negara.

"Kerajaan sedang berusaha untuk memudahkan pelabur mendapatkan kelulusan bagi menjalankan projek mereka dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. MITI gembira dengan peruntukan RM10 juta untuk meningkatkan pemudah cara pelaburan dan merealisasikannya," katanya.

Darrell berkata, insentif ini akan membantu MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menambah baik masa yang diambil oleh perniagaan dan pelabur untuk menjalankan perniagaan di Malaysia.

"Usaha untuk meningkatkan dan mengurangkan kos pengawalseliaan yang tidak perlu dan penangguhan dalam mendapatkan kelulusan perniagaan juga akan ditangani," katanya.

Geran padanan RM550 juta bagi automasi pintar sehingga RM2 juta bagi setiap syarikat untuk 1,000 pembuatan dan 1,000 syarikat perkhidmatan mengautomasikan proses perniagaan mereka dan bergerak ke arah sempadan teknologi, akan menyokong penilaian kesediaan ‘Industry4WRD’ MITI dalam inisiatif Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan membantu mengubahnya menjadi kejayaan komersil, katanya.

"Pemberian ganjaran automatik pintar bersama lanjutan Elaun Modal Automasi (ACA) kepada sektor perkhidmatan ke atas RM2 juta pertama sehingga 2023, adalah sejajar dengan peranan penting sektor perkhidmatan dalam pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Malaysia," katanya.

MITI, katanya akan terus bekerjasama rapat dengan industri dalam mengurangkan pergantungan mereka terhadap buruh asing dan menangani potensi kos menjalankan perniagaan, termasuk kenaikan upah minimum (dari RM1,100 kepada RM1,200) di bandar-bandar utama selain pindaan Akta Kerja 1955.

-- BERNAMA

Berita Harian X