Selasa, 27 Ogos 2019 | 2:55pm

ISO 37001 ABMS basmi amalan rasuah korporat

KUALA LUMPUR: Syarikat yang baru memulakan operasi dan syarikat korporat di negara ini wajar mendapatkan pensijilan ISO 37001 ‘Anti-Bribery Management Systems’ (ABMS) bagi mengurangkan risiko amalan rasuah berlaku di peringkat dalaman dan luaran.

Pengurus Jualan Anti-Bribery Anti-Corruption Centre of Excellence Sdn Bhd (ABAC), Jackie Lee Ooi Choo berkata jika dilihat daripada perspektif integriti, pensijilan ABMS membolehkan sesebuah syarikat yang memilikinya menguruskan risiko kepatuhan dan melonjakkan persepsi serta reputasi syarikat di mata umum.

Katanya, pada masa ini terdapat kurang daripada 30 syarikat yang beroperasi di negara ini mempunyai pensijilan ABMS.

“Pensijilan ABMS ini perlu melalui proses semakan yang ketat dan ia mengambil masa antara tiga bulan hingga enam bulan untuk siap bergantung kepada saiz sesuatu syarikat itu.

“Antara syarikat yang disarankan mendapatkan sijil ini adalah syarikat yang terbabit dalam industri minyak dan gas, sektor tenaga, sektor kewangan dan juga perbankan.

“Pensijilan ABMS ini tidak menjamin unsur rasuah akan bebas sepenuhnya kerana rasuah membabitkan faktor manusia. Namun, apa yang boleh saya katakan dengan adanya sijil ini, adalah menjadi semakin sukar untuk amalan rasuah dilakukan,” katanya pada sesi penerangan kepada media di sini, hari ini.

Secara umumnya, ABMS menyediakan standard yang diterima umum untuk menubuhkan; melaksanakan; mengekalkan; menyemak dan menambahbaik sistem pengurusan anti rasuah sesebuah syarikat.

Untuk memperoleh pensijilan berkenaan, sesebuah organisasi itu haruslah mendedahkan operasi mereka kepada juruaudit bebas luaran yang dilatih secara khusus untuk mengenalpasti risko dan kelemahan yang ada dalam organisasi berkenaan dan dalam masa yang sama memberikan cadangan untuk penambahbaikan.

Mengulas lanjut, Ooi Choo berkata, sesebuah syarikat yang diiktiraf layak akan menerima pensijilan ABMS bagi tempoh tiga tahun dan boleh diperbaharui selepas itu.

“Bagaimanapun, walaupun sudah mendapat pensijilan berkenaan, syarikat berkenaan akan terus dipantau oleh pihak kami bagi memastikan mereka terus mengikuti kriteria yang ditetapkan.

“Sekiranya kami dapati mereka gagal memenuhi standard yang ditetapkan, sijil boleh ditarik walaupun tempoh pensijilan itu masih belum berakhir,” katanya.

Berita Harian X