Selasa, 28 Mei 2019 | 3:01pm
WOON Tai Hai (kanan) pada sidang media di Petaling Jaya. - Foto Amirudin Sahib
WOON Tai Hai (kanan) pada sidang media di Petaling Jaya. - Foto Amirudin Sahib

Insentif baharu teknologi usaha kerajaan tarik FDI

PETALING JAYA: Program yang akan dilaksanakan kerajaan termasuk insentif baharu berkaitan teknologi dan pembangunan teknologi termaju bakal menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelidikan dan Penerbitan PIKOM, Woon Tai Hai, berkata kedudukan Malaysia yang kini bukan lagi negara ‘syurga cukai’ kepada syarikat multinasional (MNC) meraih insentif pelepasan cukai dijangka tidak memberi kesan drastik kepada industri teknologi dan pelabur.

Bagaimanapun, katanya impak kepada negara tetap wujud kerana garis panduan baharu itu secara jelas tidak membenarkan mana-mana negara menawarkan insentif manfaat cukai, ‘syurga cukai’ atau zon bebas cukai dilaksanakan untuk tempoh jangka panjang.

“Sudah tentu ada impak khususnya kepada syarikat status Koridor Raya Multimedia (MSC) dan paling terjejas teruk adalah syarikat dalam proses peralihan yang baru memohon status MSC kerana mereka baru melabur di negara ini dan tiba-tiba peraturan bertukar.

“Sebaliknya dari segi kemasukan FDI ke negara ini, kami yakin garis panduan baharu tidak akan memberikan kesan besar dan drastik ditambah lagi MSC bukan satu-satunya sumber FDI ke Malaysia.

“Kami juga sudah mengambil kira implikasi garis panduan baharu kepada prospek pertumbuhan industri ICT yang diambil secara kualiti bukannya kuantiti kerana MSC hanyalah satu aspek daripada keseluruhan ekosistem,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan Malaysia bukan lagi negara ‘syurga cukai’ atau menawarkan pelepasan cukai kepada syarikat multinasional (MNC) yang hanya mengambil peluang berkenaan tanpa memberi pulangan dari segi kesan ekonomi.

Ia sejajar dengan penambahbaikan yang dilaksanakan kerajaan kepada garis panduan insentif cukai negara bagi mematuhi rangka kerja antarabangsa Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam memerangi MNC yang cuba mengelak cukai menggunakan kaedah ‘base erosion and profit shifting’.

Sementara itu, Tai Hai berkata, industri ICT menyaksikan pertumbuhan gaji paling perlahan dalam dekad ini dengan keseluruhan gaji purata bulanan 2018 hanya empat peratus lebih tinggi daripada tahun sebelumnya, jauh lebih rendah berbanding Kadar Purata Pertumbuhan Tahunan (AAGR) 6.7 peratus untuk tempoh sembilan tahun sejak 2009.

Katanya, pertumbuhan paling perlahan itu mencerminkan keadaan suram industri ICT dengan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir tidak berubah dengan peningkatan hanya 0.1 peratus kepada 18.3 peratus yang dicatatkan pada 2017.

“Kadar pertumbuhan purata gaji bagi industri ICT dijangka mencatatkan pertumbuhan sederhana kepada 3.8 peratus tahun ini susulan perkembangan suram industri itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Permintaan pekerjaan masih baik, namun majikan kini lebih konservatif dalam pemberian ganjaran sedangkan pada masa yang sama mereka semakin mendesak untuk memiliki pekerja yang lebih berpengalaman dan berkemahiran baharu,” katanya.

Berita Harian X