Selasa, 19 Februari 2019 | 5:27pm
Rundingan meja bulat InvestKL, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Rundingan meja bulat InvestKL, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

InvestKL komited tarik pelabur asing

KUALA LUMPUR: InvestKL dengan kerjasama kerajaan, akan menganjurkan lebih banyak dialog dan interaksi dengan peserta industri untuk terus menyakinkan pelabur asing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Amanshah, berkata is susulan kejayaan sesi perbincangan meja bulat yang diadakan baru-baru ini, bertujuan menyediakan kejelasan, kepastian, konsistensi, kesinambungan dan keyakinan (5C) bagi memudahkan pelabur menjalankan perniagaan.

Katanya, meja bulat itu disertai lebih 40 peserta daripada kedutaan besar Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dan dewan perniagaan dari Greater Kuala Lumpur.

Wakil dari 18 negara menghadiri perbincangan itu antaranya ialah Kesatuan Eropah, Belgium, Norway, AS, Itali, Sepanyol, Hungary, Portugal dan Sweden.

“Peserta mendapati perbincangan meja bulat ini bermanfaat kerana memberikan pandangan dan garis panduan mengenai dasar dan prosedur lain yang berkaitan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Kewangan.

“Objektif utama meja bulat ini adalah untuk memahami pelbagai cabaran yang dihadapi oleh peserta industri, yang diwakili oleh Kedutaan dan Dewan Perniagaan, di samping kemajuan pelaburan mereka di Malaysia.

“Kami mampu memberikan lebih banyak kejelasan dan menanamkan keyakinan hasil daripada perbincangan ini kepada pelabur, "katanya.

Zainal berkata, InvestKL akan terus memberi penekanan terhadap 5C dan kembali memberi penekanan usaha memudahkan inisiatif menjalankan perniagaan bagi syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia.

“Kami akan menganjurkan lebih banyak interaksi dan dialog dengan pemain industri dan agensi untuk terus memberikan kejelasan dan keyakinan yang lebih baik kepada pelabur,” katanya.

Sesi perbincangan meja bulat itu turut dihadiri Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan, Datuk Ooi Kok Seng dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri T Subromaniam.

Berita Harian X