Selasa, 19 Februari 2019 | 5:14pm

Terbitan sukuk diunjur cecah AS$100 bilion pada 2020

KUALA LUMPUR: Moody's Investors Service Ltd menjangkakan jumlah kasar terbitan sukuk termasuk sekuriti jangka pendek akan pulih pada 2019 dan melepasi rekod tertinggi sebanyak AS$93 bilion, menjelang 2020.

Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody’s, Alexander Perjessy, berkata agensi penarafan antarabangsa itu mengunjurkan penerbitan sukuk global akan meningkat kepada AS$87 bilion pada 2019 dan naik sehingga AS$100 bilion pada 2020, daripada AS$78 bilion pada 2018.

"Pemulihan ini akan dipacu oleh gabungan pelbagai komitmen negara untuk meneruskan pembangunan pasaran sukuk, keperluan membiayai semula sukuk yang lebih tinggi dan jangkaan terhadap defisit perbelanjaan yang lebih tinggi kepada penerbit sukuk negara yang utama pada 2019-2020,” katanya dalam laporan bertemakan ‘Negara-Global: Terbitan sukuk akan pulih ketika harga minyak yang sederhana dan keperluan pembiayaan semula yang tinggi’.

Perjessy menjangkakan terbitan negara kasar akan turut meningkat dalam jangka sederhana berikutan sukuk yang diterbitkan kerajaan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) akan mula matang.

Terbitan sukuk kasar global menyusut lima peratus kepada AS$78 bilion pada 2018, daripada AS$82 bilion pada 2017.

Perjessy berkata, setakat ini Malaysia mempunyai saham terbesar bagi lebihan sukuk dalam jangka panjang bernilai AS$84 bilion, diikuti Indonesia (stabil Baa2) and Arab Saudi (stabil A!), dengan masing-masing dianggarkan AS$40 bilion.

"Tiga negara dan Qatar (stabil Aa3) adalah antara yang paling aktif mempromosi pembangunan pasaran itu,” katanya.

Beliau berkata sepanjang 2015 hingga 2018, terbitan sukuk memenuhi kira-kira 80 peratus daripada keperluan defisit fiskal Malaysia, meliputi satu pertiga daripada defisit kewangan Qatar dan Indonesia dan kira-kira 14 peratus bagi Arab Saudi.

Pada masa hadapan, Perjessy berkata Moody’s menjangkakan tiga penerbit terbesar iaitu Malaysia, Arab Saudi dan Indonesia meningkatkan saham sukuk dalam pembiayaan defisit fiskal mereka secara beransur-ansur, sekali gus menyokong unjuran pertumbuhan pasaran.

Berita Harian X