Selasa, 9 Oktober 2018 | 7:16pm
Datuk Darell Leiking. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Datuk Darell Leiking. - Foto Mohd Yusni Ariffin

MITI cadang Kerajaan wujudkan agensi promosi pelaburan tunggal

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mencadangkan kepada Kabinet supaya hanya ada agensi promosi pelaburan tunggal bagi meluluskan pelaburan dan memberi insentif kepada pelabur.

   

Menterinya, Datuk Darell Leiking, berkata adalah baik untuk negara mempunyai agensi tunggal untuk menentukan faedah dan insentif yang dimohon oleh pelabur.

  

"Sekiranya terdapat banyak agensi lain yang memutuskan atau bersaing dengan agensi lain yang serupa, ia tidak sihat. Mereka (pelabur) akan tawar-menawar. Mana-mana pelabur akan cuba untuk mendapatkan kadar dan insentif terbaik.

  

"Kita perlu mempunyai keputusan tunggal (agensi pembuat keputusan) dalam kerajaan. Satu badan yang menentukan pelaburan - itu yang sepatutnya menjadi langkah ke hadapan," katanya pada sesi Forum Malaysia Dalam Era Baharu anjuran RHB, Maybank dan CIMB di sini, hari ini.

  

Sementara itu, Darell berkata kementerian berharap Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (FTA) dapat mencapai persetujuan antara negara anggotanya menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, butiran lanjut mengenainya akan diselesaikan semasa perbincangan antara negara negara ASEAN yang akan diadakan di Singapura pada November, di mana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan hadir.

  

"Ada perkara yang akan diselesaikan dan ada perkara yang perlu diusahakan.

  

"Walaupun kita dalam ASEAN, kita masih belum sempurna, ada masalah mengenai halangan, bagaimana kita akan saling mengembara atau bagaimana kita saling berurusan antara satu sama lain," katanya.

  

Selain itu, Darell berkata kerajaan akan mengambil sedikit masa untuk meneliti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dikemas kini.

  

"Kerajaan terdahulu telah memasuki CPTPP dan semua itu tertakluk kepada kemas kini perjanjian itu.

  

"Untuk kami mengemaskini, kami perlu meminda 17 undang-undang - itu adalah perkara yang kerajaan baharu menelitinya, kerana kita tidak boleh mengubah terma perjanjian yang telah kita sertai," katanya.

Berita Harian X