Isnin, 29 Januari 2018 | 7:29pm

PIDM umum pelan korporat 2018-2020

KUALA LUMPUR: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini mengumumkan Ringkasan Pelan Korporat 2018-2020.

PIDM sebahagian daripada jaringan keselamatan kewangan Malaysia, diberi mandat melindungi kepentingan pendeposit dan pemilik polisi takaful dan insurans terhadap kegagalan mana-mana institusi anggota.

Ia juga berperanan untuk menyumbang atau menggalakkan kestabilan dalam sistem kewangan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelan tiga tahun itu menetapkan tiga keutamaan strategik PIDM, iaitu;

- Melaksanakan inisiatif untuk memperkukuh kesediaan terhadap rejim resolusi efektif untuk Malaysia

- Membangun dan menyediakan modal insan untuk kemampanan jangka panjang

- Mengukuhkan pembabitan dengan pihak berkepentingan utama, termasuk orang awam dan institusi anggota.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Rafiz Azuan Abdullah, berkata perubahan dalam persekitaran operasinya memerlukan PIDM memastikan syarikat dapat bersaing dan berada dalam keadaan bersedia untuk menyokong kestabilan sistem kewangan dengan betul.

"Keutamaan strategik kami menyokong matlamat ini, selain rejim resolusi yang berkesan," katanya.

Beliau berkata, antara matlamat utama adalah untuk memastikan segala isu yang membabitkan institusi anggota diselesaikan secara teratur tanpa sebarang gangguan sistemik terhadap sistem kewangan.

"Dalam perancangan resolusi, akan ada lebih banyak pembabitan melalui perundingan industri, termasuk pembabitan dengan institusi perintis untuk memperbaiki rangka kerja perancangan resolusi PIDM," katanya.

Katanya, PIDM akan terus membabitkan pihak berkepentingan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai sistem peranan dan perlindungannya melalui pendidikan kewangan, program pembabitan awam dan kempen pengiklanan.

Perbadanan itu menganggarkan menerima pendapatan sebanyak RM575 juta dan perbelanjaan mengurus sebanyak RM120 juta dengan anggaran lebihan bersih sebanyak RM455 juta.

Menjelang akhir 2018, ia mengunjurkan lebihan dana insurans deposit (DIF) berjumlah RM2.38 bilion dan dana perlindungan manfaat takaful dan insurans (TIPF) sebanyak RM1.66 bilion.

"DIF dan TIPF adalah rizab terkumpul untuk menampung kerugian yang mungkin timbul daripada memberi perlindungan kepada pendeposit dan pemilik polisi masing-masing," katanya.

PIDM ialah badan berkanun yang memberi perlindungan terhadap kehilangan deposit dan manfaat insurans atau takaful dengan institusi anggota sekiranya berlaku kegagalan mana-mana institusi anggota. - BERNAMA

Berita Harian X