Jumaat, 27 Oktober 2017 | 6:49pm

Defisit fiskal berkurang kepada 2.8 peratus

EKONOMI Malaysia akan kekal berdaya tahan pada 2018 dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar berkembang 5.0 hingga 5.5 peratus didorong oleh permintaan domestik.

Perbelanjaan sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan pelaburan dan penggunaan swasta berkembang 8.9 peratus dan 6.8 peratus.

Sementara itu, perbelanjaan sektor awam dijangka lebih rendah berikutan pengurangan perbelanjaan modal syarikat awam.

Dari sudut penawaran, pertumbuhan dijangka menyeluruh dengan semua sektor mencatat pertumbuhan positif.

Kedudukan luaran Malaysia dijangka kekal memberangsangkan disokong oleh perdagangan dan pertumbuhan global.

PNK dijangka meningkat

Berdasarkan keadaan ini, Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita semasa dijangka meningkat 5.1 peratus daripada RM40,713 pada 2017 kepada RM42,777 pada 2018.

Dengan kadar pertumbuhan pelaburan yang lebih tinggi, jurang simpanan-pelaburan akan berkurangan kepada 2.3 peratus daripada PNK.

Ekonomi terus beroperasi di bawah keadaan guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran di bawah 4 peratus manakala inflasi kekal rendah.

Selaras dengan usaha konsolidasi fiskal, defisit fiskal akan terus berkurang kepada 2.8 peratus daripada KDNK pada 2018 (2017: 3 peratus).

Oleh itu, hutang Kerajaan Persekutuan akan kekal terurus di bawah had berhemat sebanyak 55 peratus daripada KDNK.

Perkembangan ini akan terus memperkukuh asas ekonomi dan daya tahan negara bagi terus memacu Malaysia ke arah sasaran sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020, dengan menggandakan saiz ekonomi kepada RM2 trilion menjelang 2025 seterusnya menyertai kedudukan 20 negara teratas dunia pada 2050.

Berita Harian X