KUALA LUMPUR: Pengeluar makanan ruji, Malayan Flour Mills Bhd (MFM) mencatatkan lonjakan hampir 300 peratus keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 kepada RM145 juta berbanding RM36.4 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan kumpulan dalam tempoh itu meningkat 20.1 peratus kepada RM2.9 bilion, berbanding RM2.4 bilion tahun lalu.
MFM mencatatkan keuntungan bersih RM46.9 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 berbanding kerugian bersih RM27.7 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, disokong perniagaan ternakan yang lebih baik.
Pada suku itu, pendapatan kumpulan meningkat 18 peratus kepada RM819.6 juta.
Keuntungan yang lebih baik itu sebahagian besarnya disebabkan oleh operasi yang terus bertambah baik bagi segmen integrasi ternakan (PI) kumpulan, yang dikendalikan oleh syarikat usaha sama (JV) dengan Tyson Foods.
MFM mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1.5 sen sesaham bagi tahun kewangan 2022, yang mana bersama-sama dengan dividen interim sebanyak 1.5 sen sesaham yang dibayar pada 23 September 2022, jumlah dividen bagi tahun kewangan 2022 berjumlah 3.0 sen sesaham atau RM30.6 juta, bersamaan dengan nisbah pembayaran sebanyak 20.0 peratus.
Dividen interim kedua akan dibayar pada 24 Mac 2023.
Timbalan Pengerusi Eksekutif MFM, Teh Wee Chye, berkata prestasi kewangan bagi suku keempat bagaimanapun di bawah jangkaan untuk segmen perdagangan tepung dan bijirin (FGT), menunjukkan daya tahan terhadap model perniagaan tepung dan ayam yang diproses.
Beliau berkata, walaupun harga bahan mentah dan kenaikan kadar faedah turun naik tidak menentu , angka suku keempat 2022 menunjukkan keupayaan untuk membendung risiko perniagaan bagi keseluruhan kumpulan.
"Prospek kekal cerah kerana segmen integrasi ternakan meneruskan momentum pengoptimuman volum sejajar dengan peningkatan permintaan bagi daging diproses oleh pelanggan kami dalam QSR dan sektor pembuatan makanan," katanya dalam satu kenyataan.
MFM berkata, segmen PI mencatatkan peningkatan hampir tiga kali ganda bagi keuntungan selepas cukai kepada RM94.6 juta pada suku keempat 2022 berbanding RM32.3 juta pada suku keempat 2021 berikutan prestasi kukuh syarikat JV.
Prestasi cemerlang syarikat JV itu disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya termasuk penembusan pasaran yang berterusan ke dalam rantaian QSR, margin yang lebih baik daripada skala ekonomi hasil daripada peningkatan penggunaan kilang, campuran jualan yang lebih baik dengan peningkatan purata harga jualan, di samping aset cukai tertunda yang lebih tinggi yang diiktiraf timbul daripada insentif cukai.
Segmen itu juga menyaksikan peningkatan pendapatan sebanyak 13.9 peratus kepada RM302.7 juta berbanding RM265.8 juta suku yang sama tahun lalu.
Segmen FGT kumpulan di seluruh Malaysia dan Vietnam, bersama-sama perniagaan lain, menyumbang kepada keuntungan sebelum cukai kecil RM2.9 juta pada suku keempat 2022 berbanding RM48.8 juta pada suku sama 2021.