KUALA LUMPUR: MNRB Holdings Bhd (MNRB) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM71.23 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 berakhir 31 Disember 2022 berbanding kerugian bersih sebanyak RM22.11 juta pada suku tahun sama sebelum ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MNRB berkata perolehan pada suku tahun berkenaan turut meningkat kepada RM924.79 juta daripada RM836.29 juta sebelum ini.
Menurut syarikat pegangan pelaburan itu dalam kenyataan berasingan, keputusan lebih baik itu berikutan prestasi taja jamin yang kukuh untuk semua anak syarikat insurans semula, takaful semula dan takaful selain keadaan pasaran yang bertambah baik secara keseluruhannya.
MNRB berkata, bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih meningkat 13.7 peratus kepada RM72.0 juta daripada RM63.3 juta dicatatkan dalam tempoh sama pada tahun lalu.
"Kumpulan turut mencatatkan pertumbuhan 16.0 peratus dalam premium bertulis kasar dan sumbangan takaful dalam tempoh sembilan bulan pertama kepada RM2.4 bilion daripada RM2.1 bilion dicatatkan pada tahun lalu," katanya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Zaharudin Daud, berkata syarikat telah menempuh persekitaran operasi yang mencabar pada suku pertama dan kedua tahun kewangan 2023.
"Kumpulan MNRB mengekalkan momentum yang kukuh pada suku ketiga, mencapai kemajuan yang baik dalam strategi kami dan ini membawa kepada prestasi yang teguh apabila semua barisan perniagaan kami mencatatkan pertumbuhan perolehan pada suku ketiga tahun kewangan 2023," katanya.
Beliau berkata, kumpulan juga terus komited untuk melaksanakan strategi bagi mencapai pertumbuhan yang mencatatkan keuntungan secara mampan.
"Ini termasuk meningkatkan keupayaan digital kami untuk mengoptimumkan kecekapan operasi dan menyampaikan kecemerlangan perkhidmatan kepada pelanggan dan rakan kongsi kami," katanya.
Zaharudin berkata, sejajar dengan matlamat untuk meluaskan capaian dari segi geografi dan pasaran, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan kerjasama strategik.
"Kerjasama francais, korporat dan bancatakaful kekal menjadi keutamaan untuk perniagaan takaful kami. Bagi perniagaan insurans semula, tumpuan adalah untuk mengembangkan perniagaan kami di luar negara, terutamanya dalam portfolio luar negara dan perjanjian khusus serta MGA selain perniagaan takaful semula keluarga dan am kami," katanya.
Mengenai prospek kumpulan, Zaharudin berkata prospek ekonomi global dan domestik telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang positif, disumbangkan oleh kos tenaga yang berkurangan dan pembukaan semula China.
"Kami kekal fokus kepada inisiatif kecekapan operasi dan pengembangan perniagaan strategik kami dan yakin kumpulan akan dapat meningkatkan bahagian pasarannya dan mencatatkan prestasi yang lebih baik pada tahun kewangan 2023," katanya.
-BERNAMA