KUALA LUMPUR: Kandungan rancangan Cina menjadi pilihan kebanyakan pengguna platform penstriman atau Over The Top (OTT) di Malaysia sebanyak 95 peratus berbanding tontonan di saluran TV tradisional.
Pengurus Besar iQIYI Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam, berkata kajian yang dijalankan oleh peneraju platform penstriman Asia, iQIYI ke atas 'Penonton Kandungan Cina di Malaysia' mendapati, penstriman OTT bagi kandungan rancangan cina lebih meluas berbanding cara tontonan rancangan Cina secara langsung di saluran TV tradisional.
"Walaupun majoriti (76 peratus) responden menonton kandungan Cina menerusi kedua-dua saluran iaitu OTT dan TV tradisional, namun satu daripada lima responden menonton kandungan Cina secara eksklusif menerusi platform OTT.
"Dengan fleksibiliti untuk menonton pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, separuh daripada responden menonton kandungan Cina melalui peranti mudah alih secara minimumnya beberapa kali seminggu, dengan 28 peratus daripada responden menonton menerusi telefon mudah alih setiap hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dinesh berkata, iQIYI percaya terdapat juga sentimen positif yang semakin meningkat terhadap kandungan cina daripada penonton yang bukan berbangsa Cina.
Beliau berkata, tinjauan itu menunjukkan, walaupun 49 peratus daripada penonton kandungan Cina di Malaysia adalah berbangsa Cina, namun mereka yang berbangsa Melayu atau bumiputera juga telah menyamai angka terbabit, manakala bakinya adalah daripada bangsa lain.
Katanya, antara genre kandungan Cina yang tersedia ialah filem Cina (C-movies) dan drama bersiri Cina (C-dramas), menjadi kandungan paling popular dalam kalangan penonton Malaysia dengan masing-masing mencatat 79 peratus dan 71 peratus.
"Kami telah perhatikan peningkatan dalam tontonan kandungan Cina dalam kalangan penonton, terutama mereka yang bukan berbahasa Cina. Penonton telah menjadi lebih terbuka dalam penggunaan bahasa untuk hiburan mereka dan OTT telah membolehkan mereka menikmati kandungan ini menerusi penggunaan sari kata.
"Secara jelas, kami percaya kandungan Cina akan kekal dan dijangka terus menarik minat penonton dalam masa terdekat. Pendekatan iQIYI adalah akan sentiasa memberikan fokus untuk menghargai kandungan Asia yang asli dan berbeza.
"Kami akan terus berusaha untuk menawarkan hiburan premium Asia kepada penonton, selaras dengan komitmen kami untuk menjadi hab hiburan Asia yang digemari," katanya.