Selasa, 7 Februari 2023 | 2:38pm
Kerjaya Prospek Group Bhd
Kerjaya Prospek Group Bhd

Unit Kerjaya Prospek dapat kontrak bina struktur lindung pantai

KUALA LUMPUR: Future Rock Sdn Bhd (FRSB), anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek Group Bhd, berjaya memperoleh kontrak bernilai RM398 juta membabitkan struktur perlindungan pantai daripada Tanjung Pinang Development Sdn Bhd (TPD).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Kerjaya Prospek berkata kontrak itu melibatkan pembinaan struktur perlindungan pantai fasa 2B dan 2C bagi penambakan pembangunan Seri Tanjung Pinang di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

Kumpulan itu berkata kontrak yang bermula pada 10 April 2023 dijadual untuk siap dalam tempoh 36 bulan.

"Persetujuan untuk menerima kontrak ini adalah rutin perniagaan FRSB dan dilaksanakan dengan sepenuhnya berdasarkan terma komersial biasa.

"Kontrak itu dijangka memberi pendapatan tambahan untuk kumpulan bagi tempoh tiga tahun akan datang," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X