Ahad, 1 Januari 2023 | 12:29pm
Top Builders Capital Bhd (TBCB)
Top Builders Capital Bhd (TBCB)

Bursa Securities tegur Top Builders

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) membuat teguran secara terbuka kepada Top Builders Capital Bhd (TBCB) kerana gagal mengeluarkan laporan tahunannya untuk tempoh kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2021 pada tempoh masa yang ditetapkan.

Pengawal selia bursa saham itu berkata, firma perkhidmatan kejuruteraan dan pembinaan berkenaan melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities dengan gagal mengeluarkan laporan, termasuk penyata kewangan tahunan yang diaudit bersama-sama dengan laporan juruaudit dan pengarah, pada atau sebelum 31 Oktober 2021.

"Syarikat itu hanya mengeluarkan Laporan Tahunan 2021 pada 22 November 2021, selepas penangguhan 15 hari pasaran," katanya dalam satu kenyataan.

Bursa Securities berkata, TBCB juga dikehendaki menyemak dan memastikan kecukupan dan keberkesanan fungsi pelaporan kewangannya.

Ia berkata, penemuan pelanggaran dan mengenakan teguran awam ke atas TBCB dibuat menurut perenggan 16.19 Laporan Tahunan Utama setelah selesainya proses kewajaran selepas mempertimbangkan semua fakta dan keadaan perkara itu termasuk pelanggaran sebelumnya.

Walaupun ia tidak mendapati mana-mana pengarah TBCB telah menyebabkan atau membenarkan pelanggaran oleh syarikat, Bursa Securities memberi peringatan bahawa adalah menjadi kewajipan pengarah untuk mengekalkan standard tanggungjawab dan akauntabiliti yang sesuai dalam memastikan pelanggaran pelaporan kewangan tersebut tidak akan berulang.

Bursa Securities berkata, ia memandang serius pelanggaran itu kerana penyata kewangan yang diserahkan tepat pada masanya adalah salah satu kewajipan asas syarikat tersenarai dan amat penting dalam memastikan pasaran yang adil dan teratur bagi sekuriti yang didagangkan di Bursa Securities dan perlu untuk membantu keputusan pelaburan yang termaklum.

-BERNAMA

Berita Harian X