Isnin, 5 September 2022 | 2:18pm
Megat Jalaluddin (dua dari kiri) memeterai MoU bersama Ikwan Hafiz dalam satu majlis di Putrajaya, baru-baru ini - Foto ihsan TNB
Megat Jalaluddin (dua dari kiri) memeterai MoU bersama Ikwan Hafiz dalam satu majlis di Putrajaya, baru-baru ini - Foto ihsan TNB

TNB sedia tenaga pintar, boleh baharu di Kedah

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjalin kerjasama strategik dengan N.U.R Power Sdn Bhd (NUR Power) untuk menyediakan penyelesaian tenaga pintar dan tenaga boleh baharu (TBB) sebagai sumber utama elektrik masa hadapan.

Sumber disediakan kepada pelanggan NUR Power di kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah serta kawasan lain yang berlesen di bawah NUR Power.

Memorandum Persefahaman (MoU) mengenainya ditandatangani bagi membolehkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) atas bumbung, solar berskala besar serta penyediaan prasarana pengecas kenderaan elektrik dapat diberikan kepada seluruh pelanggan di kawasan KHTP.

Memandangkan permintaan global untuk tenaga hijau terus berkembang, NUR Power komited untuk melabur dalam mengembangkan tenaga solar bagi meningkatkan bekalan TBB dan menuju ke arah pematuhan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi menarik pelabur asing serta domestik.

Melalui kerjasama ini, TNB memperoleh rakan strategik lain bagi melaksanakan inisiatif TBB bersama dengan NUR Power sebagai pembekal elektrik eksklusif kepada KHTP dan kawasan berlesen lain.

Pelanggan di KHTP dapat menikmati kelebihan harga yang kompetitif untuk penyelesaian solar atas bumbung daripada kerjasama antara anak syarikat milik penuh TNB, GSPARX dan anak syarikat milik NUR Power, JS Solar.

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata kerjasama antara TNB dan NUR Power menandakan satu perkembangan yang amat memberangsangkan kepada negara dan TNB kerana ia sejajar dengan aspirasi TNB, iaitu mempercepatkan peralihan tenaga kepada tenaga hijau.

"TNB berhasrat untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan salah satu inisiatif utama untuk mencapai aspirasi ini adalah melalui membina kerjasama utama dan memperkukuh perkongsian yang akan membantu kami memacu agenda Peralihan Tenaga dengan lebih jauh lagi.

"Ini adalah selaras dengan agenda kerajaan berhubung kapasiti TBB dan inisiatif hijau sejajar dengan kami menuju ke arah masa depan yang lebih baik dan cerah untuk rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memeterai MoU itu bagi pihak TNB dalam satu majlis di Putrajaya baru-baru ini, manakala NUR Power diwakili Pengarah Urusan, Ikwan Hafiz Jamaludin.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Kanan, (Bekalan Elektrik) Kementerian Tenaga & Sumber Asli (KeTSA) Mareena Mahpudz dan Ketua Pengawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Datuk Hamzah Hussin.

Sementara itu, Ikwan Hafiz berkata, kerjasama TNB dan NUR Power akan dapat mempertingkatkan pembangunan TBB bagi pengguna-pengguna tenaga elektrik di KHTP melalui pemindahan kepakaran dan teknologi antara kedua-dua pihak.

"Kerjasama dalam sektor TBB oleh NUR Power dan TNB dapat merealisasikan matlamat 'Peralihan Utiliti TBB' sebagai dua pembekal utiliti tenaga di Semenanjung serta dapat menyokong ikrar iklim dan visi ESG bagi syarikat-syarikat multinasional (MNC) di KHTP dengan menyediakan keperluan dan kelengkapan sumber TBB bagi transformasi KHTP menjadi taman teknologi hijau yang unggul di Asia Tenggara," katanya.

Berita Harian X