Khamis, 29 September 2022 | 9:31pm
Pendapatan pembinaan dan hartanah melonjakkan keuntungan Gamuda
Pendapatan pembinaan dan hartanah melonjakkan keuntungan Gamuda

Gamuda rekod keuntungan tertinggi RM806.23 juta

KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd mencatatkan keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM806.23 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2022 berbanding RM588.32 juta yang disaksikan semasa tahun sebelumnya berikutan pendapatan pembinaan serta hartanah yang lebih kukuh.

Syarikat kejuruteraan, hartanah dan infrastruktur itu berkata pendapatan luar negaranya melonjak tiga kali ganda kepada RM292 juta daripada hanya RM98 juta tahun lalu, berikutan jualan hartanah meningkat ke paras tertinggi sebanyak RM4 bilion, lonjakan 40 peratus berbanding RM2.9 bilion sebelum ini.

Gamuda turut menyaksikan perolehannya menokok kepada RM4.92 bilion pada tahun kewangan 2022 daripada RM3.27 bilion.

Bagi suku keempat berakhir 31 Julai tahun kewangan 2022, keuntungan bersih Gamuda bertambah kepada RM255.24 juta berbanding RM212.88 juta yang diterima semasa suku keempat tahun kewangan 2021, selepas disokong oleh pendapatan pembinaan dan hartanah yang lebih mantap.

Perolehan untuk suku berkenaan melonjak kepada RM1.87 bilion daripada RM835.95 juta.

"Tidak termasuk peruntukan kerugian RM26 juta secara sekali sahaja ke atas penjualan 50 peratus kepentingan kumpulan dalam Terowong SMART kepada Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR), bahagian konsesi melaporkan pendapatan suku tahunan sebanyak RM25 juta berbanding suku tahun lepas iaitu RM11 juta, dan pendapatan tahun semasa berjumlah RM149 juta daripada RM163 juta yang diterima pada tahun sebelum ini.

"Penjualan itu dijangka selesai menjelang Oktober 2022," katanya.

Kumpulan itu ketika bercakap mengenai prospek menjangkakan prestasi tahun depan akan didorong oleh jualan hartanah, peningkatan kemajuan kerja bagi projek pembinaan di Australia serta kerja-kerja penyiapan MRT Laluan Putrajaya.

"Melangkah ke hadapan, daya tahan kumpulan disokong oleh tempahan dalam tangan pembinaannya yang besar iaitu hampir RM14 bilion dan jualan hartanah belum dibil yang mencecah RM6.2 bilion.

"Selain itu, kumpulan ini mempunyai kunci kira-kira yang sihat dengan gearan yang rendah pada masa ini iaitu sebanyak 0.1 kali, yang akan menjadikan wang tunai bersih positif apabila selesai jualan lebuh raya," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X