Selasa, 30 Ogos 2022 | 5:34pm

Affin Bank selesai lupus AXA Affin Life Insurance, General Insurance

KUALA LUMPUR: Affin Bank Bhd telah menyelesaikan pelupusan sebahagian daripada kepentingan ekuitinya dalam AXA Affin Life Insurance Bhd (AALI) dan AXA Affin General Insurance Bhd (AAGI) kepada Generali Asia NV (Generali).

Pelupusan itu, bersama-sama dengan penjualan keseluruhan kepentingan ekuiti milik AXA dalam AALI dan AAGI, menyaksikan Generali menjadi rakan usaha sama (JV) baharu Affin Bank dalam operasi insurans.

Affin Bank dalam satu kenyataan menjelaskan sehubungan dengan penyelesaian itu, bank berkenaan serta Generali bercadang untuk menggabungkan perniagaan milik MPI Generali Insurance Berhad dan AAGI.

Menerusi penggabungan itu, Affin Bank akan memegang ekuiti sebanyak 30 peratus dalam AAGI dan AALI.

"Gabungan entiti insurans am ini dijangka menjadi kedua terbesar dalam kalangan penyedia insurans am dengan anggaran premium bertulis kasar lebih daripada RM600 juta untuk suku pertama 2023 sahaja," katanya.

Awal hari ini, Affin Bank telah menandatangani satu perjanjian penyediaan bankasurans selama 15 tahun dengan AAGI/ALI bagi menyediakan produk insurans am/insurans hayat menerusi saluran atau platform Affin Bank di Malaysia.

"Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Generali, salah satu penyedia insurans terbesar di dunia, dalam mengembangkan keupayaan tawaran insurans kami di Malaysia selain, membina satu platform pengurusan harta termasuk perbankan yang lebih menyeluruh bagi pelanggan korporat dan runcit kami.

"Kerjasama bankasurans dengan Generali merupakan manifestasi komitmen Affin Bank ke arah menyediakan penyelesaian kewangan yang holistik kepada para pelanggan kami di samping menambah baik pengalaman pelanggan secara keseluruhannya," jelas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank Datuk Wan Razly Abdullah.

Sementara itu, Pegawai Serantau, Generali International Asia Rob Leonardi pula berkata kerjasama bersama Affin Bank akan membolehkan firma itu mengukuhkan lagi kedudukannya di Malaysia yang merupakan satu pasaran berpotensi tinggi kepada Generali di Asia.

"Ini adalah peluang unik bagi menggabungkan sumber dan kakitangan kedua-dua syarikat dalam membangunkan satu jenama bersama yang bakal memiliki skala serta keupayaan untuk bersaing dengan lebih baik dan mencatatkan keuntungan dalam pasaran insurans Malaysia, di samping mencipta nilai buat para pelanggan kami", katanya lagi. – BERNAMA

Berita Harian X