Khamis, 25 Ogos 2022 | 3:45pm
Sime Darby Property Bhd - Foto Reuters
Sime Darby Property Bhd - Foto Reuters

Pelancaran baharu lonjak untung Sime Darby Property

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sime Darby Property Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 melonjak kepada RM105 juta daripada RM23.21 juta setahun lalu, dipacu pelancaran produk sepanjang tempoh pandemik yang mencatatkan kadar pengambilan memberangsangkan.

Pendapatan pada suku dikaji turut meningkat 22.6 peratus kepada RM615.61 juta daripada RM501.97 juta sebelumnya, disumbangkan oleh kemajuan di tapak pembangunan yang mantap di perbandaran utama bermula Jun, selain jualan produk dengan margin lebih tinggi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu berkata kumpulan kekal komited untuk mencapai sasaran pelancaran produk dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.8 bilion pada 2022.

Ia berkata, produk bernilai RM1.5 bilion dilancarkan pada separuh pertama 2022, meraih purata kadar pengambilan 94 peratus bagi hartanah kediaman tidak termasuk produk statutori setakat 7 Ogos lalu.

"Kumpulan terus meraih keputusan positif untuk membuka nilai daripada pengurusan simpanan tanah yang aktif dan proses pengewangan, manakala jumlah stok disiapkan turut berkurangan kepada RM319.9 juta setakat 30 Jun 2022," katanya.

Keuntungan bersih kumpulan bagi separuh pertama 2022 meningkat kepada RM156.56 juta daripada RM89.31 juta sebelumnya, manakala pendapatan bertambah kepada RM1.096 bilion daripada RM1.091 bilion setahun lalu.

Mengenai prestasi separuh pertama tahun ini, kumpulan itu berkata segmen pembangunan hartanah menyumbang 91.5 peratus daripada pendapatan keseluruhan.

"Segmen pelaburan dan pengurusan aset turut mencatatkan prestasi baik, didorong oleh pendapatan lebih tinggi daripada KL East Mall yang mencerminkan kadar penghunian lebih tinggi 80 peratus berbanding 73 peratus tahun lalu, selain kunjungan yang meningkat," katanya sambil menambah ia terus disokong oleh hasil lebih baik daripada Melawati Mall, yang turut merekodkan kunjungan lebih tinggi dalam tempoh dikaji.

Penyambungan semula aktiviti perniagaan pada suku keempat 2021 menyumbang kepada pendapatan RM41.2 juta daripada segmen riadah.

"Sime Darby Property berada dalam landasan untuk mengatasi sasaran jualan 2022 berdasarkan pencapaian jualan RM1.9 bilion kumpulan pada separuh pertama yang merangkumi kira-kira 73 peratus daripada sasaran seluruh tahun RM2.6 bilion," katanya.

Kumpulan itu juga berkata, jualan belum dibilnya juga meningkat kepada RM3.4 bilion pada Jun 2022 berbanding RM1.8 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, ia menjamin keterlihatan pendapatan untuk dua tahun akan datang.

Sime Darby Property telah mengisytiharkan dividen interim pertamanya sebanyak 1.0 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berjumlah RM68 juta disebabkan keputusan separuh pertama 2022 yang kukuh.

Mengenai prospek, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican, berkata kumpulan itu akan terus memperkenalkan lebih banyak produk seiring dengan kehendak pasaran, memandangkan permintaan yang menggalakkan daripada pelancarannya baru-baru ini.

"Kekukuhan kewangan kumpulan menerusi oleh tunai dan setara tunainya berjumlah RM820 juta dan tahap kadar hutang bersih sebanyak 30.3 peratus pada separuh pertama 2022, memastikan ia berada pada kedudukan yang baik untuk membiayai inisiatif pertumbuhan masa depan," katanya.

Beliau juga memberitahu prestasi separuh pertama telah mengatasi jangkaan setakat ini dan kumpulan itu optimistik melepasi sasaran jualan tahun ini sebanyak RM2.6 bilion, disokong oleh pelancaran baharu membabitkan GDV bernilai RM2.8 bilion.

"Untuk baki tahun ini, banyak perkembangan baharu yang menarik termasuk pelancaran Stesen Janakuasa Battersea di United Kingdom pada bulan Oktober dan Dana Pembangunan Perindustrian yang kini sedang berjalan melalui usaha sama dengan LOGOS Property, ia merupakan sumber pendapatan berulang bagi kumpulan itu selaras dengan strategi jangka panjangnya," tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X