Isnin, 22 Ogos 2022 | 9:30pm
LBS Bina Group Bhd -NSTP/Rohanis Shukri
LBS Bina Group Bhd -NSTP/Rohanis Shukri

LBS catat untung bersih lebih tinggi

KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd mencatatkan pendapatan RM410.4 juta dan untung bersih RM33.2 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022, dengan peningkatan masing-masing sebanyak 54 peratus dan 71 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATMI) meningkat sebanyak 116 peratus kepada RM35.1 juta, katanya dalam satu kenyataan.

Pemaju hartanah itu melaporkan keputusan kewangan yang kukuh di sebalik cabaran industri pembinaan seperti kekurangan buruh dan tekanan inflasi yang meningkat.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, pendapatan dan PATMI masing-masing melonjak sebanyak 23 peratus dan 58 peratus kepada RM819.4 juta dan RM65.3 juta berbanding tempoh yang sama 2021.

Sebahagian besar peningkatan itu berikutan kadar pengambilan positif syarikat bagi projek di Bukit Jalil, LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth dan Taman Perindustrian Alam Awana.

Projek pembangunan di Lembah Klang dilaporkan menyumbang lebih 84 peratus daripada pendapatan enam bulan tahun kewangan 2022.

Nilai dan kesamaan tunai LBS, pada akhir Jun 2022, adalah sebanyak RM265.7 juta, meningkat 62 peratus berbanding enam bulan tahun kewangan 2021.

Pada 21 Ogos 2022, LBS telah mengumumkan rekod jualan hartanah sebanyak RM1.31 bilion dan tempahan dalam perancangan sebanyak RM313 juta.

Sehingga 31 Julai 2022, Syarikat mempunyai bank tanah untuk pembangunan masa hadapan seluas 1,069.6 hektar.

Mengulas keputusan kewangan itu, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata LBS telah menghasilkan pendapatan yang luar biasa pada suku itu.

Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada pelancaran yang dirancang teliti di samping usaha berterusan syarikat untuk melaksanakan strategi pemasaran yang inovatif.

Katanya, dalam persekitaran yang penuh dengan ketidakpastian akibat kekurangan tenaga kerja, kenaikan kadar faedah serta kenaikan harga bahan mentah, beliau gembira pemaju hartanah itu berjaya mengekalkan pendapatan.

"Kami juga sedar bahawa semua ini memerlukan masa untuk pulih dan berharap momentum ini dapat dikekalkan menuju ke separuh kedua 2022," katanya.

Hock San berkata, kejayaan memperoleh catatan RM1.31 bilion jualan, bersamaan dengan 82 peratus daripada sasaran jualan tahun 2022.

Beliau berkata, pihaknya gembira kerana kadar pengambilan kukuh bagi projeknya pada suku kedua, khususnya di pembangunan LBS Alam Perdana dan KITA @ Cybersouth.

"Ini menunjukkan bahawa kami berada di landasan tepat dengan pembinaan di kawasan strategik sekali gus berupaya menyediakan rumah mampu milik yang memenuhi keperluan pembeli rumah.

"Kami akan terus kekal fokus pada rancangan pertumbuhan kami sambil mengutamakan pemegang saham kami dan tentunya kami berhasrat untuk membawa LBS ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Berita Harian X