Jumaat, 12 Ogos 2022 | 12:23pm
Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San
Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San

MGB dapat kontrak pembinaan RM172.3 juta

KUALA LUMPUR: MGB Bhd, penyedia penyelesaian perkhidmatan pembinaan dan pembangunan hartanah menerusi anak syarikatnya, MGB Construction & Engineering Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM172.3 juta daripada Kita Sejati Sdn Bhd.

Kontrak itu merangkumi kerja pembinaan utama bagi dua pangsapuri 24 tingkat dan sebuah bangunan lapan tingkat yang terdiri daripada kemudahan kawasan umum dan tempat letak kereta.

Kerja-kerja pembinaan projek ini terletak di Cybersouth, Sepang dan dijangka akan bermula pada 1 September 2022 bagi tempoh 15 bulan.

Projek pembangunan terbabit adalah sebahagian daripada pembangunan perbandaran KITA @ Cybersouth oleh LBS Bina Group Bhd.

MGB di dalam pengumuman penerimaan kontrak itu pada 25 Julai lalu telah

memperoleh kontrak berjumlah RM225 juta untuk membina antara lain, dua buah pangsapuri perkhidmatan komersial 29 tingkat di Taman Lestari Perdana, Bandar Putra Permai di daerah Petaling.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San, berkata menerusi kontrak ini, tempahan pembinaan berada di dalam kedudukan pendapatan yang kukuh dengan RM2.21 bilion untuk tahun-tahun yang akan datang.

"Sehingga kini, MGB telah memperoleh kontrak bernilai hampir RM400 juta. Kami sangat berbesar hati kerana MGB dapat meneruskan projek

pembinaan meskipun keadaan industri pembinaan yang tidak menentu."

"Fokus utama kami pada masa hadapan adalah untuk memastikan projek-projek pembinaan kami dapat disiapkan mengikut perancangan tanpa menjejaskan kualiti yang telah ditetapkan.

"Penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) telah berjaya mengurangkan penggunaan tenaga buruh yang telah menjejaskan seluruh industri. Melihat dari sudut projek, MGB bersiap sedia untuk melancarkan lima lagi baki projek Rumah Selangorku Idaman MBI yang akan berlangsung sepanjang tahun ini dan 2023," katanya dalam satu kenyataan.

Ditubuhkan pada 2007, MGB telah berkembang menjadi syarikat pembinaan serta pemaju hartanah dengan perhatian utama berfokus kepada pasaran pembinaan meluas dan ruang kediaman mampu milik bagi rakyat Malaysia.

Melalui anak-anak syarikatnya, MGB menyediakan kapasiti penuh reka bentuk, pembinaan serta perkhidmatan pembangunan termasuk mereka, membina, pengurusan projek, kejuruteraan sivil, kejuruteraan nilai, kepakaran geoteknikal serta pengeluaran IBS.

Dengan rekod 14 tahun dalam bidang pembinaan kediaman, komersial serta bangunan industri selain kerja-kerja infrastruktur, MGB berdiri kukuh di samping berjaya menyiapkan lebih 16,000 unit hartanah, terutamanya segmen kediaman mampu milik.

MGB juga telah menyiapkan 4,000 rumah menggunakan teknologi IBS.

Berita Harian X