Jumaat, 29 Julai 2022 | 4:02pm
Ireka Corporation Bhd
Ireka Corporation Bhd

Ireka kemuka permohonan struktur semula hutang

KUALA LUMPUR: Ireka Engineering & Construction Sdn Bhd (IECSB), anak syarikat Ireka Corporation Bhd (Ireka) mengemukakan permohonan untuk pengurusan perundangan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memulih dan mengukuhkan kedudukan kewangannya serta kumpulan secara keseluruhan.

Ireka dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, permohonan itu adalah sebahagian daripada rancangan komprehensif oleh pengurusan baharu dalam usahan mengembalikan keuntungan dalam jangka masa sederhana.

Langkah itu, katanya menekankan beberapa objektif untuk memastikan hutang sedia ada dapat diselesaikan selain kesinambungan projek sedia ada untuk menjana pendapatan serta mengehadkan potensi kelewatan dan kos yang ditanggung akibat kelewatan projek di bawah IECSB.

"Ia juga bagi memberikan anggaran yang baik bagi pulangan kepada pemiutang, sebagai sebahagian daripada pertimbangan penyelesaian kepada pemiutang IECSB.

"Langkah itu juga membolehkan cadangan yang sesuai kepada pemiutang atau kelas pemiutang tertentu dan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menangani pembayaran balik hutang mereka melalui skim pengaturan.

"Ia turut meminimumkan cabaran dan kesan pandemik COVID-19 terhadap industri dan cabaran ekonomi seperti kekurangan tenaga kerja dan bahan mentah yang mendorong kepada kenaikan harga," katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Ireka, Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail, berkata permohonan kumpulan adalah perlu dan penting bagi menangani kedudukan hutang IECSB yang memberi kesan kepada klasifikasi Ireka sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17).

Beliau berkata, ia juga memberi kesan dan keupayaan keseluruhan kepada kumpulan untuk bergerak ke hadapan.

Katanya, adalah penting untuk membantu kumpulan memulih dan menyusun semula keadaan kewangan, menjana aliran tunai, sambil menstruktur semula hutang.

"Ringkasnya, rancangan Ireka untuk keluar daripada status PN17 termasuk penyelesaian hutang dan penstrukturan semula di bawah pengurusan perundangan yang kedua-duanya perlu dibuat dan dilaksanakan hampir serentak.

"Dengan mempercepatkan proses ini, ia akan membolehkan kumpulan memperoleh dan mengambil bahagian dalam bidaan untuk pekerjaan atau projek baharu, sekali gus membawa kembali keuntungan," katanya.

Mohd Hasnul berkata, seorang pengurus perundangan akan dilantik untuk menjalankan penyelesaian hutang dan penstrukturan semula bagi pihak IECSB.

Beliau berkata, pelantikan itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan dan peranan pengurus perundangan adalah untuk menilai secara objektif dan memastikan usaha penstrukturan semula hutang IECSB, menentukan dan melaksanakan program penyelesaian akhir.

Katanya, Ireka percaya pelantikan pengurus perundangan adalah demi kepentingan kumpulan dan akan mempercepatkan proses untuk memulihkan kedudukan kewangannya.

"Dengan proses ini, kami akan berada dalam kedudukan yang lebih kukuh dari segi kewangan, untuk menyahut cabaran yang telah menjejaskan IECSB dan memperlahankan pelan pemulihan Ireka.

"Usaha ini akan meletakkan kumpulan di landasan yang betul untuk keluar daripada status PN 17 dan membolehkan kami membina semula dan mengembangkan perniagaan," katanya.

Berita Harian X