Khamis, 28 Julai 2022 | 9:13pm
Datuk Sulaiman Mohd Tahir. - NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA
Datuk Sulaiman Mohd Tahir. - NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA

AMMB muktamad jualan AmGeneral Insurance, RM2.29 bilion

KUALA LUMPUR: Anak syarikat 51 peratus milik AMMB Holdings Bhd (AMMB), AmGeneral Holdings Bhd telah memuktamadkan penjualan anak syarikat milik penuhnya, AmGeneral Insurance Bhd (AGIB), kepada Liberty Insurance Bhd (LIB) pada harga RM2.29 bilion.

Ini susulan penerimaan kelulusan kawal selia oleh Menteri Kewangan dan pemeteraian perjanjian jual beli saham dengan LIB, menurut satu kenyataan daripada kumpulan AMBank.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan AMMB Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata: "Kami sememangnya berbesar hati dengan penyempurnaan penjualan perniagaan insurans am ini kepada Liberty Mutual Insurance.

"Sebagai rakan kongsi strategik, kami berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan mereka, dan kami juga yakin bahawa menerusi usaha sama ini, kami akan lebih bersedia dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dan juga rakan kongsi perniagaan kami dengan penyelesaian insurans yang inovatif."

Berikutan penyempurnaan perjanjian tersebut, LIB kini memperoleh 100 peratus saham AGIB, yang sebelum ini 51 peratus dimiliki oleh AMMB dan 49 peratus dimiliki oleh Insurance Australia Group.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian jualan, AMMB telah menerima wang tunai berjumlah RM287 juta dan 30 peratus kepentingan dalam AGIB dan LIB yang bernilai RM939 juta.

Di samping itu, AMMB telah memeterai kerjasama bankasurans baharu selama 20 tahun bagi pengedaran produk insurans am sebagai sebahagian daripada urus niaga.

AMMB berkata operasi AGIB dan LIB akan digabungkan secara rasmi pada tarikh berikutnya, dan entiti gabungan itu dijangka menjadi pembekal insurans am yang tersohor dan juga pembekal insurans kenderaan terbesar di Malaysia.

– Bernama

TAG: AMMB, AGIB, LIB, jualan

Berita Harian X