Khamis, 7 Julai 2022 | 9:02pm
Raya Airways dan ST Engineering meraikan pencapaian kedua-dua pihak - Foto ihsan Raya Airways
Raya Airways dan ST Engineering meraikan pencapaian kedua-dua pihak - Foto ihsan Raya Airways

Raya Airways sewa empat pesawat Airbus

KUALA LUMPUR: Pengendali kargo udara serantau Raya Airways Sdn Bhd akan menyewa empat pesawat Airbus berbadan sempit jenis pesawat penumpang ke pesawat kargo daripada perniagaan pengurusan aset penerbangan ST Engineering.

Pengarah Urusan Kumpulan Raya Airways, Mohamad Najib Ishak dalam satu kenyataan hari ini berkata empat pesawat tambahan iaitu dua A320P2F dan dua A321P2F, akan membolehkan syarikat itu meningkatkan kapasiti operasi untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

"Industri kargo udara, yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global, dijangka berkembang seiring dengan ekonomi global. Unjuran industri terkini oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyatakan bahawa volum kargo dijangka mencatatkan rekod tertinggi sebanyak 68.4 juta tan pada 2022 dengan hasil kargo dijangka bernilai AS$191 bilion daripada hasil industri," katanya.

Najib berkata, empat pesawat itu akan ditukar di bawah program A320/A321P2F Elbe Flugzeugwerke, usaha sama antara ST Engineering dan Airbus.

"Penukaran untuk pesawat pertama, A321, telah bermula di kemudahan ST Engineering di Singapura dengan jangkaan penghantarannya pada suku keempat 2022," katanya.

Kenyataan itu berkata, A321P2F menawarkan 27 tan apabila ditukar menjadi pesawat kargo, A320P2F, pula ialah 21 tan, yang secara berkesan meningkatkan muatan gabungan Raya Airways sehingga 96 tan.

Perniagaan pengurusan aset penerbangan ST Engineering ialah syarikat pemberi pajakan pesawat dan enjin lengkap dengan kecekapan terasnya dalam permulaan perjanjian, pembiayaan, pensekuritian, pengurusan pajakan, pengurusan aset teknikal, pemasaran semula dan pemilikan semula.

-BERNAMA

Berita Harian X