Khamis, 30 Jun 2022 | 11:09am
Glomac berjaya menguruskan aktiviti perniagaan dan aliran tunai di kemuncak pandemik COVID-19
Glomac berjaya menguruskan aktiviti perniagaan dan aliran tunai di kemuncak pandemik COVID-19

Glomac catat untung RM57.5 juta

KUALA LUMPUR: Glomac Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM57.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2022, dengan perolehan diraih sebanyak RM259.5 juta.

Walaupun prestasi terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tempoh dikaji, keuntungan meningkat hasil daripada inisiatif penjimatan kos yang dilaksanakan sepanjang tahun kewangan.

Bagi suku keempat tahun kewangan dikaji, keuntungan sebelum cukai Glomac meningkat 17 peratus kepada RM25.1 juta, berasaskan hasil berjumlah RM73.6 juta.

Glomac dalam kenyataannya berkata, projek yang menyumbang kepada hasil tahun kewangan 2022 termasuk pembangunan semasa seperti Saujana Perdana, Lakeside Boulevard, Plaza@ Kelana Jaya, 121 Residences dan Sri Saujana di Johor.

Ia berkata, lembaran imbangan yang kukuh mencerminkan kejayaan kumpulan menguruskan aktiviti perniagaan dan aliran tunai di kemuncak pandemik COVID-19.

"Tahap hutang bersih adalah sederhana pada 0.23 kali ketika penghujung April 2022, manakala tunai dan deposit tunai adalah berjumlah RM215.4 juta.

"Kedudukan kukuh ini memberikan sumber modal secukupnya kepada kumpulan untuk melaksanakan aktiviti pembangunan pada tahun kewangan baharu," katanya.

Nilai aset bersih sesaham kumpulan turut meningkat kepada RM1.49 daripada RM1.45 pada penghujung April 2021.

Pengarah telah mencadangkan pembayaran dividen satu peringkat akhir sebanyak 1.5 sen sesaham biasa, yang tertakluk kepada kelulusan pemegang saham di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan datang.

Glomac berkata, jualan meningkat pada suku keempat seiring pelonggaran PKP, dengan momentum jualan keseluruhan bagi pelancaran pada tahun kewangan 2022 adalah memberangsangkan.

"Fasa baharu rumah teres dua tingkat di bawah pembangunan semasa kami semuanya sudah hampir habis dijual. Ini termasuklah PRIMROSE di Saujana KLIA dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM33 juta dan RUMA 33 di Saujana Utama 5 dengan GDV RM28.5 juta.

"SRI KENANGA di Saujana Perdana, yang dilancarkan baru-baru ini pada

Mac 2022, terdiri daripada rumah bandar dengan GDV sebanyak RM44.5 juta, turut mendapat sambutan hebat dengan jualan melebihi 50 peratus dalam jangka masa yang singkat," katanya.

Dengan pembukaan semula sektor ekonomi, Glomac berkata ia merancang untuk mengukuhkan aktiviti pembangunan dengan pelancaran baharu bernilai RM470 juta pada tahun kewangan 2023 yang akan mengekalkan tumpuannya kepada segmen kediaman pasaran pertengahan.

"Antara perkembangan penting, termasuklah pelancaran awal GreenTec Puchong, pembangunan kediaman bersepadu baharu seluas 15.3 ekar dengan GDV yang dianggarkan mencecah RM1.56 bilion.

"Fasa awal termasuk unit SOHO dan pangsapuri perkhidmatan berjumlah RM312 juta yang bakal dilancarkan pada lewat tahun kewangan.

"Pelancaran lain tahun ini termasuk fasa baharu rumah teres dua tingkat PRIMROSE di Saujana KLIA dan pangsapuri bertingkat tinggi di Lakeside Residences," katanya.

Berita Harian X