Rabu, 29 Jun 2022 | 7:59pm

Untung bersih Gamuda melonjak kepada RM221.49 juta

KUALA LUMPUR: Untung bersih Gamuda Bhd melonjak 56 peratus kepada RM221.49 juta bagi suku ketiga berakhir 30 April, 2022 daripada RM141.89 juta yang dicatatkan semasa suku yang sama tahun kewangan 2021.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, Gamuda menjelaskan, keuntungan bersih yang amat memberangsangkan itu disumbangkan oleh prestasi keuntungan yang lebih baik daripada bahagian pembinaan dan hartanah.

Pendapatan pula meningkat 22 peratus kepada RM1.18 bilion daripada RM971.18 juta bagi tempoh yang sama.

Menurut Gamuda, keuntungan bersih bagi segmen pembinaan melonjak 193 peratus kepada RM126.75 juta, manakala bahagian pembinaan merekodkan keuntungan bersih yang meningkat sebanyak 20 peratus kepada RM62.47 juta.

Secara keseluruhan, ia menjangkakan prestasi bagi tahun kewangan 2022 didorong oleh jualan hartanah dan kemajuan berterusan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai MRT Laluan 2).

"Daya tahan syarikat disokong oleh nilai perolehan kontrak pembinaan, yang meningkat kepada RM12.4 bilion, susulan kejayaan kami menerusi bidaan bersama untuk Projek Pintasan Coffs Harbour bernilai AUD$1.35 bilion (RM1.09 bilion) di Australia dan jualan hartanah belum dibilkan berjumlah RM5.4 bilion," jelasnya.

– Bernama

Berita Harian X