Jumaat, 24 Jun 2022 | 7:24pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Kenaikan elaun Pengerusi, Pengarah FGV wajar - FELDA

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sebagai pemegang saham terbesar FGV Holdings Bhd (FGV) menyifatkan kenaikan elaun Lembaga Pengarah FGV dianggap wajar setelah sekian lama tidak pernah disemak.

Malah, ia berkata, langkah itu adalah sejajar dengan prestasi syarikat yang mencatatkan pencapaian terbaik pada 2021, yang mana FGV memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.175 bilion.

FELDA juga menyifatkan imbuhan berkenaan wajar setelah dikaji perunding luar secara perbandingan dengan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat tersenarai dengan modal pasaran setaraf FGV sebagai penanda aras.

"Semakan ini juga merangkumi elaun Pengerusi dan turut membabitkan elaun kereta yang hanya diklasifikasikan semula kepada yuran pengarah. Perubahan ini bersesuaian dengan tanggungjawab Lembaga Pengarah untuk menguruskan syarikat tersenarai yang bermodal pasaran cukup besar seperti FGV.

"Pemegang saham selain FELDA juga telah mengundi menyokong kenaikan imbuhan berkenaan semasa AGM yang baru saja selesai sebagai tanda kewajaran semakan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, FELDA sebelum ini pernah menolak resolusi bayaran yuran Pengarah FGV pada 2019 apabila syarikat itu tidak mencatatkan keuntungan, yang mana jelas membuktikan komitmen FELDA dalam melindungi kepentingannya sebagai pemegang saham utama.

Pada Khamis, majoriti pemegang saham FGV telah meluluskan 13 resolusi yang dibentangkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat perladangan itu termasuk menaikkan elaun Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarahnya.

Elaun Pengerusi Bukan Eksekutif FGV dinaikkan dari RM300,000 kepada RM480,000 atau bersamaan RM25,000 kepada RM40,000 sebulan bagi tempoh satu tahun, bermula 24 Jun 2022 sehingga AGM akan datang.

Imbuhan Pengarah Bukan Eksekutif FGV bagi tempoh sama juga naik daripada RM120,000 kepada RM150,000 atau dari RM10,000 kepada RM12,500 sebulan.

Sementara itu, FELDA berkata, kepentingan peneroka dan generasi baharu sentiasa dibincangkan di peringkat FELDA dan kekal sebagai agenda utamanya.

Ia berkata, walaupun FGV tidak berurusan secara langsung dengan peneroka, kejayaan FGV adalah juga kejayaan FELDA dan peneroka.

FELDA berkata, ia akan terus menerima manfaat daripada pencapaian FGV yang terbaik setakat ini hasil daripada penstrukturan korporat yang telah dilaksanakan selama ini.

Katanya, ia juga akan terus memastikan FGV beroperasi secara cemerlang berdasarkan pengurusan yang terbaik dengan pulangan yang optimum kepada FELDA untuk menjaga kepentingan peneroka dan generasi baharu.

"FGV, sebagai syarikat yang tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia memerlukan ahli lembaga pengarah berpengalaman dan mahir yang bertanggungjawab merangka strategi pertumbuhan mampan serta memacu syarikat ke arah kecemerlangan untuk manfaat FELDA dan pemegang taruhnya.

"Oleh itu, FELDA akan memberikan sokongan yang sewajarnya kepada dasar, cadangan dan perancangan daripada FGV berdasarkan jaminan bahawa pencapaian syarikat itu mesti terus dipertingkatkan," katanya.

Berita Harian X