Jumaat, 24 Jun 2022 | 2:31pm
Senheng New Retail Bhd (Senheng)
Senheng New Retail Bhd (Senheng)

Senheng sasar jadi peruncit elektronik utama

KUALA LUMPUR: Senheng New Retail Bhd (Senheng) menyasarkan untuk menjadi peneraju utama dalam sektor peruncit elektronik pengguna di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Pengerusi Eksekutifnya, Lim Kim Heng, berkata langkah itu mampu dicapai disokong oleh beberapa inisiatif agresif kumpulan seperti meningkatkan perbelanjaan modal untuk menaik taraf dan mengembangkan rangkaian kedai serta mempertingkatkan rangkaian pergudangan dan pengedaran.

Sehubungan itu, beliau berkata syarikat memperuntukkan perbelanjaan modal RM74.3 juta tahun ini yang membolehkannya memenuhi sasaran untuk memiliki 61 rangkaian kedai menjelang 2024.

"Kumpulan akan terus melaksanakan pelan pengembangan dengan pantas untuk merebut lebih banyak peluang di tengah-tengah proses pemulihan perbelanjaan pengguna.

"Ini akan menyokong sasaran kami untuk menggandakan bahagian pasaran kumpulan daripada 13 peratus pada 2020 kepada 30 atau 40 peratus pada 2025," katanya dalam taklimat media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) secara maya, hari ini.

Sementara itu, Kim Heng berkata sebanyak RM49 juta pelaburan diperuntukkan kumpulan bagi membuka atau menaik taraf 21 rangkaian kedai pada 2022.

Katanya, format terbaharu kedai kumpulan secara purata memperoleh jualan 30 hingga 50 peratus lebih tinggi berbanding kedai Senheng dan senQ sedia ada.

"Baki RM25.3 juta akan digunakan untuk membeli tanah seluas 2.9 ekar di Bandar Bukit Raja, Selangor pada Mei 2022. Perolehan tanah ini akan menyokong pengembangan serta peningkatan rangkaian pergudangan dan pengedaran kumpulan pada masa hadapan," katanya.

Beliau menambah, Senheng juga akan mengembangkan keupayaan tiga kedai perdana iaitu Grand senQ di Paradigm Mall Johor Bahru, senQ Elite di Pavilion Elite Bukit Jalil dan Grand Senheng Elite di SS2, Petaling Jaya.

"Tiga rangkaian kedai ini mewakili kedai terbesar dan paling moden kumpulan setakat ini dengan menyediakan rangkaian elektronik pengguna yang komprehensif," katanya.

Kim Heng berkata, peningkatan operasi dan prestasi kewangan kumpulan juga tidak hanya bersandarkan kepada jumlah rangkaian kedai, malah turut disokong oleh penggunaan teknologi dalam operasi.

Beliau berkata, penggunaan teknologi seperti kepintaran buatan (AI) dan penggunaan IoT dalam berinteraksi dengan pelanggan dan jualan dalam talian banyak membantu peningkatan jualan.

Katanya, peningkatan dan pengembangan kedai runcit yang berterusan akan melengkapkan penyepaduan lancar kumpulan bagi inisiatif pemasaran digital yang diperibadikan, e-dagang, ekosistem Senheng App serta logistik yang cekap.

"Faktor-faktor ini jika digabungkan akan membentuk pengalaman membeli-belah omnichannel yang sangat memuaskan, membezakan kami daripada pesaing dalam sektor runcit," katanya.

Berita Harian X