Jumaat, 24 Jun 2022 | 12:26pm
Jenama PETRONAS bernilai AS$13.6 bilion pada 2022
Jenama PETRONAS bernilai AS$13.6 bilion pada 2022

PETRONAS kekal jenama minyak, gas terunggul dunia

KUALA LUMPUR: PETRONAS mengekalkan kedudukannya sebagai jenama minyak dan gas (O&G) paling kukuh di dunia untuk tahun ketiga berturut-turut, menurut laporan tahunan Brand Finance 2022 berhubung jenama O&G paling bernilai dan kukuh.

Syarikat minyak dan gas nasional itu juga kekal antara 10 jenama O&G paling bernilai di seluruh dunia pada 2022.

Kedudukan PETRONAS adalah berdasarkan keputusan Indeks Kekukuhan Jenama (BSI), yang dinilai berdasarkan prestasi jenama yang menumpukan pengukuran tidak ketara berbanding pesaingnya, meningkat daripada 87 pada tahun lalu kepada 87.7 pada 2022.

Menurut Brand Finance, PETRONAS berada pada kedudukan yang baik mengukuhkan lagi jenamanya kerana syarikat itu menyasarkan untuk menyediakan pelbagai pilihan tenaga selaras dengan aspirasinya mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata pihaknya bersyukur dengan pencapaian itu yang terus menunjukkan daya tahan dan ketabahan tenaga kerja PETRONAS dalam menghadapi gangguan melampau terhadap ekosistem tenaga selama dua tahun.

Beliau berkata, walaupun mengharungi persekitaran yang lebih berisiko dan tidak menentu dengan kedudukan yang agak mantap, keutamaan PETRONAS adalah untuk memastikan keselamatan bekalan tenaga untuk Malaysia dan pelanggan di seluruh dunia.

Katanya, melaksanakan komitmen itu menjadi lebih mencabar apabila keadaan geopolitik yang semakin memuncak terus mengancam pemulihan pasca-pandemik yang sudah rapuh.

"Memandang ke depan, PETRONAS percaya bahawa dengan kekuatan dan kebolehpercayaan portfolio terasnya digabungkan dengan tawaran baharu dalam penyelesaian tenaga yang lebih bersih, ia akan berkembang menjadi 'energy superstore' yang memacu perniagaan dan memacu kemajuan dengan cara yang adil dan mampan di dalam negara dan di negara tempat kami beroperasi," katanya dalam satu kenyataan.

Selain mengira nilai jenama, Brand Finance juga menentukan kekuatan relatif jenama melalui kad skor metrik seimbang yang menilai pelaburan pemasaran, ekuiti pemegang taruh dan prestasi perniagaan.

Penilaian Brand Finance terhadap ekuiti pemegang taruh menggabungkan data penyelidikan pasaran asal daripada lebih 100,000 responden di lebih 35 negara dan merentasi hampir 30 sektor.

Dalam laporan Brand Finance Global 500 2022 mengenai jenama paling bernilai di dunia yang dikeluarkan awal tahun ini, prestasi jenama PETRONAS yang konsisten telah menyumbang kepada nilai jenama AS$13.6 bilion pada 2022, peningkatan 13 peratus berbanding 2021.

Berita Harian X