Selasa, 14 Jun 2022 | 11:25am

TnG eWallet rentas sempadan ke Singapura

Kumpulan Touch 'n Go, melalui TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital), pemilik dan pengendali Touch 'n Go eWallet mengembangkan keupayaan pembayaran rentas sempadannya ke Singapura, diterajui dengan penerimaan eWallet di teksi ComfortDelGro.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, ia dilaksana melalui kerjasama dengan Alipay+, set pembayaran digital rentas sempadan global dan penyelesaian pemasaran yang dikendalikan oleh Ant Group.

"Ini adalah permulaan pengembangan selanjutnya perkhidmatan pembayaran kami ke Singapura. ComfortDelGro ialah pengendali rangkaian teksi terbesar di Singapura, mengendalikan kira-kira 9,000 teksi di seluruh bandar.

"Kami melihat ini sebagai peristiwa penting untuk mengembangkan pembayaran kami kepada Singapura dan kami amat berbesar hati kerana dapat memberikan pengguna kami kemudahan tambahan dan kes penggunaan ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif, TNG Digital, Alan Ni.

Bercakap mengenai kerjasama itu, Pengurus Besar, Perkongsian Pembayaran Global Alipay+ Ant Group, Cheng Guoming, berkata Touch 'n Go eWallet adalah rakan kongsi yang lama dan rapat dengan Ant Group, dan dompet mudah alih terkemuka di Malaysia yang memiliki lebih 17 juta pengguna tempatan untuk memenuhi keperluan kehidupan harian mereka daripada membuat pembayaran sehinggalah melabur.

"Kerjasama terbaharu dengan Alipay+ untuk membolehkan dan meluaskan lagi penggunaan rentas sempadannya menjadi satu lagi inovasi untuk membolehkan penggunanya mengembara dengan eDompet dan menikmati pengalaman pembayaran tanpa kerumitan dan lancar di luar negara asal mereka.

"Pada masa pra-pandemi, lebih 350,000 orang berulang-alik setiap hari antara Malaysia dan Singapura menyeberangi tambak. Dengan pembukaan semula sempadan antara Malaysia dan Singapura, kerjasama dengan Alipay+ ini sememangnya tepat pada masanya," katanya.

Sebagai sebahagian daripada kempen promosi untuk memperingati kerjasama baharu ini, pengguna Touch 'n Go eWallet boleh menikmati beberapa diskaun untuk meraikan pelancaran.

Pengguna layak mendapat diskaun segera, daripada RM4 dan RM6, daripada jumlah tambang mereka apabila mereka menaiki teksi ComfortDelGro pada aplikasi Touch 'n Go eWallet sehingga 25 Jun 2022. Diskaun berbeza pada minggu berbeza dan dihadkan pada 300 transaksi pertama setiap hari .

Berita Harian X