Khamis, 2 Jun 2022 | 5:50pm
Sunway Pyramid, pusat membeli belah di bawah Sunway Malls. - NSTP/EMAIL
Sunway Pyramid, pusat membeli belah di bawah Sunway Malls. - NSTP/EMAIL

Sunway Malls raih untung tahap sebelum pandemik

KUALA LUMPUR: Sunway Malls menyaksikan pemulihan yang pantas dan dijangka kembali mencatat keuntungan kepada tahap sebelum pandemik pada 2022 dengan peningkatan 17 peratus dalam unjuran jualan suku kedua tahun kewangan 2022 berbanding suku kedua tahun kewangan 2019.

Pengendali pusat beli-belah itu berkata peningkatan ini dicapai hasil jualan Raya 2022 yang lebih baik, peralihan kepada fasa endemik, pasaran buruh yang bertambah baik dan permintaan dalam dan luar lebih kukuh, kata Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls & Theme Parks HC Chan dalam satu kenyataan hari ini.

Pengendali pusat beli-belah itu berkata jualan pada suku kedua juga dijangka melepasi jualan suku pertama tahun kewangan 2022 sebanyak 17 peratus.

Mengulas mengenai unjuran itu, Chan berkata jualan Raya yang tinggi pada 2022 memberikan permulaan yang ketara, positif dan selesa untuk suku kedua 2022, pengendali pusat membeli-belah itu menyaksikan jualan tanpa gangguan selama sembilan bulan.

Pada asas bulanan, Chan berkata jualan April 2022 adalah 43 peratus lebih tinggi daripada April 2019, Mei 2022 adalah 10 peratus lebih tinggi daripada bulan yang sama dua tahun lepas dengan jualan Jun 2022 dijangka selari dengan Jun 2019, katanya.

Beliau berkata prestasi jualan April 2022 melepasi Januari 2022 dengan 1 dan 2 Februari adalah dua hari pertama Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata kumpulan itu dengan tujuh pusat membeli-belah fizikal, menjangkakan 300 kedai baharu dibuka berikutan pembesaran Sunway Carnival serta hartanah yang lain.

"Bagaimanapun, tekanan inflasi, gangguan bekalan makanan, kos tenaga yang meningkat, harga komoditi lebih tinggi dan kenaikan kadar faedah akan mempengaruhi dalam jangka pendek. Dalam jangka panjang, kadar pelaburan swasta dijangka meningkat pada suku akan datang dengan aktiviti pelaburan diunjurkan bertambah baik," katanya.

–Bernama

Berita Harian X