Sabtu, 28 Mei 2022 | 12:35pm

Anak syarikat SCIB raih kontrak kedua bina jalan RM38 juta

KUCHING: Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, SCIB Properties Sdn Bhd (SCIB Properties) terus mengukuhkan kedudukannya di Sarawak apabila memperoleh Surat Anugerah (LOA) kedua dari Masama Sdn Bhd (Masama) membabitkan projek infrastruktur jalan raya bernilai RM38 juta.

LOA itu membabitkan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) adalah bagi melaksanakan dan menyiapkan cadangan jalan raya baharu menghubungkan Jambatan Baleh, RH Belaja, Ng Benin, SK Ng Pelagus dan Pelagus Resort di Daerah Kapit, Sarawak.

SCIB dalam satu kenyataan, berkata projek berkenaan dimajukan dengan terma dan syarat seperti yang ditetapkan dalam Dokumen Kontrak yang ditandatangani antara Masama dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

LOA berada di bawah Pakej 2 Projek Infrastruktur Jalan di Pelagus dan Baleh dan ia akan bermula dari Mei 2022 hingga Mac 2023.

LOA yang diperoleh itu adalah yang kedua selepas SCIB Properties memperoleh projek pembinaan jalan raya di Bukit Goram, Katibas, Ngemah, dan Machan serta cadangan pembinaan jalan raya di Nanga Banjor, Nanga Makut dan Katibas di Daerah Song, Sarawak bernilai RM36 juta dari Masama.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SCIB, Rosland Othman, berkata projek infrastruktur jalan raya di Sarawak itu memberikan momentum yang diperlukan untuk terus mengukuhkan kehadiran syarikat di Sarawak.

"Kami berbesar hati kerana berjaya memperoleh projek infrastruktur kedua dalam masa seminggu. Ini membuktikan usaha dan komitmen berterusan kami serta rekod prestasi untuk memperoleh kontrak berskala besar dari pelanggan.

"Tambahan pula, reputasi kami sebagai pembekal pilihan bukan sahaja kerajaan Sarawak tetapi juga sektor swasta di negeri ini telah memberikan kami kelebihan daya saing yang diperlukan dalam mendapatkan projek.

"SCIB menyedari bahawa projek ini berpotensi memanfaatkan lagi segmen pembuatan kami dan juga meningkatkan kekuatan bekalan produk perkilangan kami pada masa hadapan yang boleh dijangka," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, SCIB meraih pendapatan berjumlah RM37.55 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2022.

Tiada perbandingan perbandingan untuk suku yang sama tahun kewangan sebelumnya kerana SCIB menukar akhir tahun kewangannya daripada akhir tahun kewangan 31 Disember 2020 kepada 30 Jun 2021 pada 24 Mei 2021.

Mengikut segmen, bahagian perkilangan menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan sebanyak RM22.10 juta, diikuti bahagian pembinaan/EPCC serta dan perdagangan hartanah, masing-masing mencatatkan pendapatan RM15.14 juta dan RM319,000.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2022, SCIB meraih pendapatan berjumlah RM102.18 juta.

Melangkah ke hadapan, Rosland berkata, SCIB mempunyai memiliki prospek perniagaan lebih baik bagi tahun kewangan 2022 bersandarkan nilai kontrak semasa berjumlah RM1.3 bilion pada Disember 2021.

"Ini akan diterjemahkan kepada keterlihatan pendapatan yang sihat sehingga 2026," katanya.

Berita Harian X