Rabu, 25 Mei 2022 | 4:53pm
Sime Darby Property Bhd
Sime Darby Property Bhd

Sime Darby Property imbangi kenaikan kos bahan binaan

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan lonjakan harga bahan binaan tidak memberi impak kepada operasi kewangan serta keupayaan subkontraktor.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican, berkata antara langkah yang diambil bagi menangani segera di peringkat operasi dengan subkontraktor adalah melaksanakan syarat perubahan harga (VOP) dalam kontrak kerja.

Beliau berkata, Sime Darby Property juga menjadi satu-satunya pemaju hartanah yang memperkenalkan kontrak VOP kepada subkontraktor.

"Kumpulan sedar jika tender dikeluarkan, margin yang diperolehi tidak akan seperti dahulu, kerana harga bahan mentah sudah agak tinggi.

"Bagi memberi jaminan kepada subkontraktor, kontrak VOP diperkenalkan. Jika harga melebihi peratusan tertentu berdasarkan persetujuan dengan subkontraktor, kami akan memastikan bahawa kenaikan akan ditanggung oleh kumpulan.

"Jika harga bahan mentah bergerak sebaliknya, kumpulan juga akan mendapat manfaat. Ia memberi keyakinan kepada subkontraktor bahawa mereka mampu melakukan kerja dan tidak bimbang dari segi kos," katanya.

Beliau berkata demikian selepas taklimat media prestasi kewangan suku pertama berakhir 31 Mac 2022 Sime Darby Property secara maya, hari ini.

Azmir berkata, Sime Darby Property juga melaksanakan langkah mempelbagaikan reka bentuk dan bahan yang digunakan dalam projek hartanahnya.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan kualiti projek pembinaan masih lagi sama tetapi mempunyai perbezaan dari segi kos dengan menggunakan bahan mentah yang berlainan serta rekaan yang lebih sederhana.

Ini kerana, katanya kumpulan perlu meminimumkan kos pembinaan dan menggunakan bahan mentah yang mempunyai kos lebih rendah.

"Kami menggunakan bahan alternatif yang boleh mengurangkan kos tetapi mempunyai kualiti yang sama. Ia termasuk reka bentuk yang merangkumi prinsip reka bentuk untuk kos.

"Ini kerana pada akhirnya kita perlu memastikan bahawa kumpulan dapat membuat keuntungan dan pada masa yang sama pembeli tidak terbeban dengan lonjakan harga.

"Bagaimanapun, perkara ini perlu ditangani dengan berhati-hati dari masa ke semasa," katanya.

Azmir berkata, isu kekurangan pekerja asing juga turut memberi impak kepada projek pembangunan hartanah bukan saja kepada Sime Darby Property tetapi kepada seluruh pemaju hartanah yang lain di Malaysia.

Beliau berkata, Malaysia banyak bergantung kepada pekerja asing, justeru ia perlu diselesaikan dengan kadar segera.

"Semua sektor yang berkaitan menghadapi masalah ini. Jadi, ia adalah sesuatu yang kami harap dapat diselesaikan dengan pantas.

"Apabila berdepan dengan kekurangan pekerja asing, projek pembinaan kumpulan tidak dapat dilaksanakan mengikut kelajuan dan sasaran yang sama.

"Ini mengakibatkan terdapat sesetengah projek perlu mengambil masa yang lebih lama. Projek yang berjalan lama dan tidak mengikut jadual akan memberi kesan kepada kewangan," katanya.

Azmir berkata, secara keseluruhannya, Sime Darby Property menjangkakan prospek positif bagi pasaran hartanah untuk baki tahun kewangan, khususnya di dalam segmen kediaman dan perindustrian ekoran pelonggaran sekatan ketika peralihan ke fasa endemik.

Beliau berkata, ia turut disokong oleh kadar vaksinasi kebangsaan dan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Mengenai projek mega luar negara, Azmir berkata, Battersea Power Station (BPS) kini merekodkan kadar penyewaan komersial dan runcit serta pertumbuhan dari segi jualan kediaman di Fasa 2 dan 3A.

Katanya, ia seiring dengan penyiapan dan pembukaan rasmi BPS pada September ini.

"Setakat ini, lebih daripada 80 peratus ruang runcit dan komersial di BPS telah diserahkan kepada rangkaian penyewa yang berkualiti tinggi," katanya.

Berita Harian X