Selasa, 24 Mei 2022 | 8:28pm
Sime Darby Property Bhd
Sime Darby Property Bhd

Sime Darby Property catat untung lebih rendah

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sime Darby Property Bhd merosot kepada RM51.84 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berbanding RM66.04 juta tahun lalu.

Perolehan bagi suku yang dikaji turut menyusut kepada RM480.33 juta berbanding RM588.77 juta tahun lalu berikutan penurunan sumbangan daripada segmen pembangunan hartanah.

Bagaimanapun, ia diimbangi oleh prestasi kewangan lebih baik daripada dua lagi segmen perniagaan terasnya iaitu pelaburan dan pengurusan aset, dan rekreasi.

"Kemerosotan perolehan itu disumbangkan terutama berikutan aktiviti pembangunan yang lebih rendah di City of Elmina, Serenia City, Bukit Jelutong dan KLGCC Resort, di samping jualan lebih rendah daripada inventori yang telah siap di KLGCC Resort, Taman Melawati dan perbandaran KL East, sekali gus menyebabkan sumbangan keuntungan yang lebih rendah pada suku semasa," menurut pemaju berkenaan dalam makluman kepada bursa hari ini.

Nilai pembangunan kasar (GDV) bagi pelancaran baharu untuk tahun kewangan 2022 kekal sebanyak RM2.8 bilion, dengan RM383.5 juta telah dilancarkan pada suku pertama tahun ini.

Kediaman bertanah yang dilancarkan pada suku pertama tahun kewangan 2022 mencapai purata kadar pembelian berjumlah 96 peratus, dengan produk perindustrian telah habis dijual pada awal Mei 2022.

Bagaimanapun, menurut syarikat itu, kekurangan buruh di Malaysia baru-baru ini, bidang tumpuan yang dipantau dengan teliti, telah mengehadkan kepesatan kemajuan tapak, yang seterusnya menjejaskan perolehan dan pengiktirafan hasil pada suku yang dikaji.

Kumpulan ini optimis terhadap pasaran hartanah pada masa akan datang, terutama dalam segmen kediaman dan perindustrian, didorong oleh kelonggaran sekatan dalam fasa peralihan ke endemik berkuat kuasa 1 April 2022, selain kadar vaksinasi penduduk yang memberangsangkan dan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

-BERNAMA

Berita Harian X