Selasa, 24 Mei 2022 | 4:55pm

iQiyi raih lebih 10 juta muat turun

KUALA LUMPUR: iQiyi, platform penstriman video atas permintaan pan-Asia terkemuka mendedahkan jumlah penggunanya meningkat 15 kali ganda dalam tempoh dua tahun, menjadikannya platform penstriman freemium paling pesat berkembang di Malaysia.

Pengurus Negara iQiyi Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam, berkata selain pencapaian berkenaan, iQiyi juga menjadi aplikasi penstriman video freemium nombor satu paling banyak dimuat turun di Malaysia pada tahun 2021 membabitkan lebih 10 juta muat turun.

"Saya ingin berterima kasih kepada penonton kami di atas sokongan mereka dan memilih iQiyi sebagai platform hiburan pilihan mereka.

"Kami kekal komited untuk menyediakan pelbagai hiburan Asia kepada dunia dan ianya boleh diakses oleh penonton antarabangsa, selain turut melabur dalam inovasi bagi menawarkan pengalaman tontonan yang menakjubkan untuk pengguna kami.

"Rakyat Malaysia telah menikmati kandungan Asia di platform iQiyi yang menawarkan pelbagai pilihan rangkaian senarai kandungan utama dan terbesar Asia daripada kandungan anime tempatan hingga Korea, China dan Jepun," katanya dalam satu kenyataan.

Ketika ini, iQiyi menawarkan kandungan premium hebat sebanyak 4,000 judul menerusi platformnya.

Tahun lalu, iQiyi menghidangkan penontonnya dengan rangkaian terbesar drama tempatan yang mencetuskan fenomena termasuk 7 Hari Mencintaiku 2, Cukup Derita Itu 2, Sabarlah Duhai Hati, Budak Tebing 2, Gerak Khas Undercover dan banyak lagi. Beberapa drama cinta popular China turut ditayangkan di iQiyi termasuk Moonlight, My Dear Guardian, Love is Sweet, dan Our Secrets. Pada masa sama, peminat drama Korea juga menikmati tayangan drama yang dibintangi selebriti terkenal termasuk Jirisan (Jun Ji-hyun), Bad and Crazy (Lee Dong-wook), serta My Roommate is A Gumiho (Jang Ki-yong dan Hyeri), yang mana menjadi drama paling banyak ditonton di iQiyi Original setelah melepasi angka 100 juta tontonan di seluruh dunia.

Setakat enam bulan pertama tahun 2022, penonton iQiyi disajikan dengan barisan rancangan tempatan popular termasuk drama musim ketiga yang dinanti-nantikan, 7 Hari Mencintaiku, Bila Hati Memilih Dia, dan drama yang bakal menemui penonton iaitu Kerana Aku Isteri Bidaan. Peminat drama China juga teruja menonton My Sassy Princess, Be My Princess, Under The Skin, dan Love The Way You Are. Selain itu, penggemar drama Korea boleh menikmati judul menarik seperti Military Prosecutor Doberman, Ghost Doctor serta drama terkini seperti Shooting Stars dan The Killer's Shopping List.

Dengan pertumbuhan pesat, Dinesh berkata, iQiyi Malaysia berhasrat untuk menjadi pemacu utama dalam ekosistem kandungan tempatan dengan membina hubungan yang kukuh dengan pengguna dan juga rakan kongsinya.

"Tumpuan iQiyi bukan sahaja menawarkan pengalaman hiburan terbaik kepada penonton kami, malah kami juga berhasrat membantu memperkembang industri tempatan menerusi kerjasama bermakna dengan syarikat produksi, rakan kongsi media, pelbagai jenama dan pengiklan

Dalam pemerhatian kami, tempoh dua tahun kebelakangan ini telah mempercepatkan penggunaan media menerusi internet, terutamanya kandungan video premium.

"Sebagai antara peserta utama di Malaysia, kami mahu memainkan peranan kami dalam merangsang industri kreatif tempatan. Kami teruja untuk terus menjalinkan kerjasama dengan pemain industri ke arah mencapai matlamat ini dan komited untuk melabur dalam pasaran tempatan bagi tempoh jangka panjang," katanya.

Tahun lalu, iQIYI International (iQIYI) mengukuhkan kedudukannya di Malaysia melalui kerjasama strategik dengan dua syarikat ternama - syarikat penciptaan kandungan media dan hiburan terulung, Media Prima Bhd (Media Prima) dan Celcom Axiata Bhd (Celcom).

Perjanjian tahunan yang dimeterai bersama Primeworks Studio akan memberikan iQiyi keutamaan hak tayangan untuk drama tempatan popular terbitan TV3.

Ini termasuklah drama popular utama yang akan boleh distrim di platform iQiyi pada hari sama ia ditayangkan di TV3.

Sementara itu, dengan visi bersama untuk menyumbang ke arah pemulihan ekosistem kandungan Asia yang dikuasakan oleh minda kreatif Malaysia, iQiyi telah bekerjasama dengan syarikat produksi tempatan, Longhouse Films melancarkan My Ofis pada 26 Mei 2022.

Dipadankan dengan konsep e-dagang menerusi Kod QR, My Ofis adalah drama komedi bertemakan pejabat eksklusif global iQiyi global unik yang diselaraskan untuk membuka jalan ke arah ekosistem penggunaan kandungan baharu menerusi konsep 'tonton, imbas & beli'.

Konsep yang baharu diperkenalkan ini memberi kuasa kepada penonton untuk membuat pembelian dengan mudah dengan paparan produk-produk di skrin yang disepadukan dengan iklan secara serta-merta untuk memudahkan urusan pembelian dan jualan.

Dengan ekosistem e-dagang yang dikuasakan oleh JOCOM: YOUR POCKET SUPERMARKET iaitu penyedia aplikasi e-dagang tempatan, pengguna boleh mengimbas kod QR yang muncul semasa tontonan drama dan mereka akan terus dibawa ke laman e-dagang di aplikasi JOCOM pada telefon pintar mereka untuk membuat pembelian dan penghantaran terus ke rumah.

Berita Harian X