Isnin, 23 Mei 2022 | 9:14pm
Boustead Plantations Bhd
Boustead Plantations Bhd

Harga sawit lonjak keuntungan Boustead Plantations

KUALA LUMPUR: Peningkatan minyak sawit mentah (MSM) dan keuntungan daripada penjualan tanah Kulai Young menyaksikan keuntungan bersih Boustead Plantations Bhd meningkat 3,460 peratus kepada RM435.16 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 daripada RM12.23 juta pada tahun lalu.

Pendapatan naik kepada RM324.16 juta daripada RM171.94 juta pada tahun sebelumnya berikutan kenaikan harga produk sawit dan pengeluaran tandan buah segar (FFB), yang membawa kepada keuntungan daripada operasi sebanyak RM151.3 juta.

Sementara itu, keuntungan daripada penjualan tanah Kulai Young berjumlah RM364.1 juta, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Katanya, harga purata MSM pada suku pertama sebanyak RM6,030 satu tan, naik 61 peratus daripada suku tahun sama pada tahun lalu sebanyak RM3,751 satu tan.

Harga purata MSM bulanan tertinggi sebanyak RM6,780 satu tan dicatatkan pada Mac 2022, mengatasi harga purata MSM bulanan tertinggi pada tahun lepas sebanyak RM5,159 satu tan dicatatkan pada November 2021.

Harga purata isirung sawit sebanyak RM4,655 satu tan, atau meningkat 85 peratus berbanding sebelum ini.

Menurut Boustead Plantations, pengeluaran FFB pada suku tahun itu sebanyak 195,882 tan meningkat sembilan peratus daripada pengeluaran pada suku pertama 2021 sebanyak 180,165 tan, menyumbang hasil sebanyak 2.9 tan metrik sehektar berbanding 2.7 tan metrik sehektar pada suku tahun sama pada tahun lalu.

"Peningkatan ini adalah kesan daripada Program Peningkatan Prestasi Perladangan (PPIP) yang dibentangkan dalam Pelan Perniagaan 2022 kumpulan, yang memberi tumpuan kepada peningkatan hasil.

"Kadar pengekstrakan minyak dan kadar pengekstrakan isirung sawit meningkat daripada 20.3 peratus kepada 20.6 peratus dan daripada empat peratus kepada 4.1 peratus," katanya.

Dari segi wilayah, Semenanjung Malaysia mencapai keuntungan segmen sebanyak RM75.7 juta, meningkat RM49.9 juta daripada keuntungan sebanyak RM25.8 juta pada suku tahun sama pada tahun lalu manakala wilayah Sabah mencatatkan keuntungan segmen sebanyak RM71.3 juta, mengatasi RM5.8 juta pada tahun lalu dan keuntungan segmen Sarawak sebanyak RM4.3 juta meningkat berbanding tahun lalu sebanyak RM1.8 juta.

Boustead Plantations berkata, harga minyak sawit akan kekal kukuh untuk baki suku kedua 2022 berikutan konflik Ukraine-Russia yang berterusan dan pengeluaran MSM yang terhad akan mengurangkan permintaan yang semakin meningkat untuk minyak makan.

Bagaimanapun, sentimen mengenai Indonesia menarik balik larangan eksport produk minyak sawit akan menambah penurunan kepada harga minyak sawit.

"Bekalan minyak sawit dijangka bertambah baik pada separuh kedua tahun ini berikutan isu kekurangan tenaga kerja yang semakin reda dengan kemasukan pekerja asing kembali ke Malaysia.

"Pasaran dijangka stabil paling awal pada Julai 2022 dan permintaan terhadap minyak sawit dijangka meningkat berikutan tebaran harga yang baik antara minyak kacang soya, selain penukaran penggunaan minyak bunga matahari kepada minyak sawit berikutan konflik Eropah," katanya.

Secara keseluruhannya, kumpulan gembira dengan trend harga meningkat dan pengeluaran tanaman yang menggalakkan pada suku pertama 2022.

Ia akan terus memberi tumpuan kepada PPIP untuk meningkatkan lagi produktiviti pada suku tahun akan datang bagi mengambil peluang daripada harga MSM yang kukuh.

-BERNAMA

Berita Harian X