Rabu, 18 Mei 2022 | 2:01pm
Produk keluaran Nestle Malaysia
Produk keluaran Nestle Malaysia

Nestle tambah stok pastikan bekalan cukup di pasaran

KUALA LUMPUR: Nestle Malaysia sedang meningkatkan jumlah stok inventori bagi memastikan bekalan yang mencukupi dalam pasaran susulan peningkatan permintaan pengguna yang terpendam, demikian menurut Affin Hwang Investment Bank.

Bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya menjelaskan bahawa perbelanjaan COVID-19 oleh Nestle Malaysia untuk tahun ini berkemungkinan lebih rendah secara drastik berbanding RM93 juta yang dibelanjakan pada 2021.

"Ia berikutan pelonggaran prosedur standard operasi (SOP) yang ketat dan normalisasi aktiviti perniagaan ketika Malaysia memasuki fasa endemik.

"Bagi mengurangkan kesan kenaikan harga komoditi, Nestle Malaysia telah meningkatkan harga produk secara beransur-ansur sejak separuh kedua tahun 2021 dan menilai secara konsisten harga produk untuk mengekalkan kemampuan dan kesediaan produknya untuk pengguna," katanya.

Affin Hwang Investment berkata, pihaknya mengunjurkan perolehan Nestle akan disumbangkan daripada prestasi pada separuh pertama 2022 yang dipacu oleh antara lain perbelanjaan terpendam sewaktu musim perayaan termasuk Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

"Selain itu, pertumbuhan menyeluruh merentas pasaran domestik dan eksport dan pelonggaran peraturan sekatan untuk meningkatkan penggunaan Luar Rumah (OOH) dan perniagaan hotel, restoran dan kafe (HoReCa) yang bertambah baik.

"Memasuki separuh kedua 2022, pendapatan mungkin akan terkesan disebabkan oleh kelembapan margin keuntungan yang berpunca daripada peningkatan kos bahan mentah dan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang sekali gus meningkatkan kos import.

"Selain itu, lonjakan kos pengangkutan disebabkan oleh bekalan kontena penghantaran yang rendah dan kesan daripada Cukai Makmur sekali sahaja pada tahun ini.

"Oleh itu, kami mengunjurkan pendapatan Nestle Malaysia berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 4.5 peratus sepanjang 2021 hingga 2024," katanya.

Mengenai kesan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 bermula 1 Mei 2022, bank pelaburan itu berkata, berdasarkan panduan daripada pengurusan, majoriti pekerja di Nestle Malaysia memperoleh pendapatan lebih daripada paras gaji minimum baharu itu.

"Oleh itu, kenaikan gaji minimum dijangka mempunyai kesan kecil kepada pendapatan kumpulan itu," katanya.

Berita Harian X