Jumaat, 13 Mei 2022 | 10:51am
Celcom Axiata Bhd - Foto hiasan
Celcom Axiata Bhd - Foto hiasan

Celcom sasar tingkat liputan 4G di Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd (Celcom) menyasarkan untuk meningkatkan liputan dan kapasiti 4G LTE masing-masing sehingga 92 peratus di Sarawak dan 85 peratus di Sabah, menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi (Teknologi) Celcom, Afizulazha Abdullah, berkata peningkatan itu akan membolehkan pengguna di Sabah dan Sarawak mendapat liputan 4G LTE yang lebih baik.

"Kami amat komited dengan pembangunaan liputan serta rangkaian di Sabah dan Sarawak. Malah kedua-dua negeri itu amat penting untuk Celcom dan berharap pengguna di sana dapat menikmati liputan 4G yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara bertajuk Celcom Memberikan Perkhidmatan Rangkaian Konsisten Dengan Liputan Terluas, terbitan Bernama TV yang disiarkan malam semalam.

Afizulazha berkata, Celcom juga amat mementingkan penambahbaikan rangkaian di Sabah dan Sarawak, selaras dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (JENDELA) serta kerjasama dengan pihak industri.

April lalu, Celcom mengumumkan peruntukan lebih RM200 juta bagi penambahbaikan rangkaian di Sabah dan Sarawak pada 2022 yang meliputi kerja peningkatan liputan dan kapasiti 4G LTE, Rangkaian Teras Celcom serta pelaburan bagi liputan fiber untuk Celcom Timur Sdn Bhd (CTSB).

Mengulas perancangan Celcom, Afizulazha berkata syarikat telekomunikasi itu menggunakan teknologi menyeluruh seperti 'multiple-output' (MIMO) yang dapat mengurangkan kesesakan trafik dan membolehkan lebih ramai pengguna memanfaatkan perkhidmatan Celcom tanpa sebarang gangguan.

Selain itu, beliau berkata penggunaan perkhidmatan telekomunikasi turut meningkat sehingga 60 peratus sewaktu pandemik COVID-19 yang bermula pada 2020 apabila penggunaan data bertambah kepada 30 gigabit (GB) sebulan berbanding 20GB sebulan sebelum pandemik.

Celcom turut menjangkakan penggunaan data berkenaan akan terus meningkat walaupun negara kini berada dalam fasa peralihan ke endemik, katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X