Isnin, 9 Mei 2022 | 1:40pm
(Gambar fail) Affin Bank Bhd.
(Gambar fail) Affin Bank Bhd.

Affin Bank peroleh kelulusan jual pegangan syarikat insurans

KUALA LUMPUR: Affin Bank Bhd memperoleh kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF) pada 6 Mei untuk menjual 21 peratus kepentingan ekuitinya dalam AXA Affin Life Insurance Bhd (AALI) dan 2.95 peratus kepentingann dalam AXA Affin General Insurance Bhd (AAGI) kepada Generali Asia NV.

Sehingga kini, Affin memegang 51.0 peratus kepentingan dalam AALI dan 49.95 peratus dalam AAGI.

Affin dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya akan memeterai perjanjian penjualan saham dengan Generali Asia untuk penjualan dalam AALI dan AAGI tertakluk kepada penyelesaian baki syarat mengikut perjanjian pelaksanaan, dan pengumuman lanjut akan dibuat sewajarnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata pihaknya menyaksikan peluang pertumbuhan sinergistik untuk AAGI dan AALI dengan usaha sama itu.

"Kami juga melihat keupayaan untuk meningkatkan penyelesaian kewangan dan penawaran produk kami kepada pelanggan melalui perkongsian bankasurans masa depan dengan Generali," katanya.

Affin dan Generali menandatangani perjanjian pelaksanaan untuk penjualan kepentingan dalam AALI dan AAGI pada 22 Jun 2021

Di samping itu, Affin juga telah bersetuju untuk perniagaan insurans am AAGI dan MPI Generali Insurans Bhd (MPIG) digabungkan di bawah AAGI, di mana AAGI akan memperoleh aset dan liabiliti tertentu MPIG melalui pemindahan perniagaan untuk mewujudkan syarikat yang diperbesar, tertakluk kepada kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ia berkata sebuah syarikat tempatan baharu akan ditubuhkan untuk memegang semua saham dalam AALI dan AAGI (syarikat gabungan).

Affin pula akan memegang 30 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat tempatan baharu itu, dengan Generali memegang baki 70 peratus kepentingan, jelas Affin.

"Oleh itu, Affin dikehendaki oleh BNM untuk membuat penyerahan yang diperlukan bagi pegangan sahamnya dalam syarikat tempatan baharu itu kepada BNM dalam tempoh satu bulan mulai 6 Mei, 2022," menurut Affin.

Dalam kenyataan berasingan, MPHB Capital Bhd (MPHB Capital) menjelaskan MOF melalui surat BNM bertarikh 6 Mei meluluskan penjualan oleh Multi-Purpose Capital Holdings Bhd (MPCHB) dan MPHB Capital bagi 51 peratus kepentingan ekuiti milik MPCHB dalam MPI Generali Insurans Bhd kepada Generali Asia.

"Butiran lanjut akan diumumkan selepas perjanjian pembelian saham dimuktamadkan dan dilaksanakan," tambahnya.

– Bernama

TAG: Affin, AALI, AAGI, Generali, insurans am, insurans hayat, bankasurans

Berita Harian X