X
Khamis, 28 April 2022 | 12:53pm
Pengarah Urusan MNHB, Loy Siong Hay (empat dari kiri) pada majlis penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini
Pengarah Urusan MNHB, Loy Siong Hay (empat dari kiri) pada majlis penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini

MNHB bida projek substesen solar berskala besar

KUALA LUMPUR: MN Holdings Bhd (MNHB), pakar kejuruteraan utiliti bawah tanah dan kejuruteraan substesen yang membuat kemunculan sulung di Bursa Malaysia hari ini sedang membida tender untuk beberapa projek substesen solar (LSS) berskala besar.

Pengarah Urusan MNHB, Loy Siong Hay, berkata pembidaan itu adalah bagi penyelaras pengurusan projek dan kejuruteraan kerja-kerja reka bentuk.

Beliau berkata, kumpulan yakin tender terbabit akan menambah kepada kontrak baharu sebanyak RM172.2 juta pada 9 Mac 2022, di mana 21.4 peratus atau RM36.8 juta terdiri daripada kerja dari segmen kejuruteraan substesen manakala bakinya, 78.6 peratus atau RM135.4 juta adalah kerja dari segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah.

"MNHB berada pada kedudukan yang baik untuk mendapatkan tender kerana ia mempunyai keupayaan yang terbukti dalam melaksanakan projek LSS.

"Sehingga kini, kumpulan mendapat tiga projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di bawah LSS2 dalam kapasiti sebagai subkontraktor," katanya selepas majlis penyenaraian MNHB di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

MNHB memulakan penyenaraian sulungnya di Pasaran ACE pada 26 sen, mencatatkan premium lima sen atau 24 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) syarikat iaitu 21 sen.

Pada loceng pembukaan, kaunter menyaksikan 20.83 juta saham bertukar tangan.

MNHB mempunyai 15 tahun sejarah operasi dalam industri pembinaan utiliti kuasa di Malaysia.

Ia menyediakan perkhidmatan terutama kepada sektor utiliti kuasa di Malaysia, daripada penjanaan kuasa kepada penghantaran dan pengedaran.

Siong Hay berkata, MNHB kini terbabit dalam projek EPCC sebagai kontraktor utama yang memperoleh projek loji kuasa fotovoltaik solar di bawah program LSS diperkenalkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia pada 2016.

Beliau berkata, sebagai pakar kejuruteraan utiliti bawah tanah dan substesen, kumpulan mampu memikul peranan pengurusan dan penyeliaan keseluruhan projek, sumber bahan binaan yang diperlukan, peralatan substesen serta sistem untuk pemasangan dan pentauliahan.

MNHB dijangka menjana RM17.2 juta menerusi IPO itu dan pada harga

tawaran 21 sen sesaham, ia akan mempunyai permodalan pasaran berjumlah sehingga RM85.84 juta.

Penyenaraian itu juga termasuk tawaran penjualan 40.9 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

Berita Harian X